ARKIB :
08/03/2011
Malaysia mampu
menang - Khairul Fahmi
SEPANG -
Kapten skuad negara, Khairul Fahmi Che Mat optimis kemenangan mampu milik
Malaysia pada aksi perlawanan kelayakan kedua menentang skuad Olimpik Pakistan
di Stadium Punjab, Lahore, esok.
Janji penjaga
gol sensasi negara itu, dia akan berusaha sedaya upaya untuk mempertahankan
gawang negara daripada dibolosi jentera serangan Pakistan yang dijangka
memberikan aksi lebih sengit berbanding perlawanan pertama di Stadium Shah
Alam, bulan lalu.
Keupayaan
bahagian pertahanan menangkis serangan Pakistan pada perlawanan pertama
tersebut membuatkan Khairul Fahmi bertambah yakin untuk mendapatkan kejayaan di
Lahore.
Menurut
Khairul Fahmi, segala pengalaman beraksi di pentas dunia termasuk kejayaan
memperoleh kemenangan dalam Piala Suzuki AFF 2010 bersama skuad kebangsaan akan
dimanfaatkan sebaiknya pada perlawanan esok.
Katanya,
pasukan negara perlu mendapatkan gol awal pada perlawanan esok bagi memastikan
keyakinan pemain berada di tahap terbaik sebelum boleh mendapatkan kemenangan.
''Pemain juga
perlu sentiasa berwaspada dengan corak permainan Pakistan pada perlawanan Rabu
ini kerana kita tidak boleh terlalu selesa dengan dua gol yang kita ada setakat
ini.
''Jurulatih
juga ada memberikan pesanan pada kami agar lebih banyak bersabar pada
perlawanan itu nanti selain yakin dengan keupayaan sendiri ketika beraksi di
tempat lawan,'' katanya kepada pemberita sebelum berlepas ke Pakistan di Lapangan
Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.
Dalam pada
itu, Khairul Fahmi berkata, kesemua pemain yang akan ke Lahore berada pada
tahap yang terbaik selain bersemangat untuk beraksi pada perlawanan kedua esok.
''Latihan
persediaan yang kita lakukan sebelum ini juga membuatkan kami bertambah yakin
untuk menghadapi Pakistan walaupun tahu pasukan lawan tidak akan mudah
memberikan kita kemenangan.
''Saya harap
tidak ada apa-apa masalah semasa perlawanan berlangsung dan apa yang paling
penting kami perlu fokus kepada tugas masing-masing,'' kata Khairul Fahmi.
SUMBERArtikel
Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0308&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz5dp4AhvW0
© Utusan
Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan