Khamis, 10 November 2016

‘Tarik balik hasrat undur diri’

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
 
‘APEX’ (kiri) ketika ditemu bual wartawan selepas menjalani latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

PENGUNDURAN Tan Sri Annuar Musa sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) tidak ‘direstui’ penjaga gol pasukan negeri itu, Khairul Fahmi Che Mat.

Ini kerana Khairul yang mesra disapa ‘Apex’ menganggap skuad The Red Warriors masih memerlukan khidmat Annuar yang dianggap sebagai ‘Bapa Bola Sepak Kelantan’ untuk memimpin pasukan gergasi Pantai Timur itu.

Menurut ‘Apex’, barisan pemain Kelantan masih memerlukan penglibatan bekas Menteri Belia dan Sukan itu kerana Annuar lebih arif untuk membangunkan bola sepak Kelantan selain membantu mereka menyelesaikan masalah gaji.

“Kita tahu beliau banyak berjasa dengan (bola sepak) Kelantan. Jadi, saya pun tidak tahu keadaan di Kelantan macam mana dan bila ini terjadi, kita sesama pemain bincang dengan pihak pe­ngurusan tetapi buat masa sekarang, saya fokus bersama skuad kebangsaan.

“Berkenaan dengan Tan Sri (Annuar), saya tidak boleh menghalang beliau tetapi saya rasa kami sa­ngat memerlukan presi­den (KAFA) seperti beliau buat masa sekarang.

“Jadi, kalau boleh, beliau tarik balik surat peletakan jawatan itu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas sesi latihan Harimau Malaysia di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Kosmo! semalam melaporkan, Annuar mengesahkan melepaskan jawatannya sebagai Presiden KAFA dengan memberikan alasan beliau mahu fokus dengan tugasan nasional selain mahu memberikan peluang kepada individu lebih mampu demi Kelantan.

Bagaimanapun, KAFA tidak terlepas daripada kontroversi apabila persa­tuan negeri itu didakwa masih gagal menyelesaikan masalah gaji ekoran masalah kewangan.

Mengulas lanjut mengenai kemelut itu, ‘Apex’ menggesa kepada pemain-pemain Kelantan agar membuat aduan mengenai hak mereka kepada Per­satuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM).

“Bagi saya, pemain-pemain yang belum dapat hak masing-masing boleh rujuk dengan PFAM. Jadi, saya sebagai Exco PFAM, kepada mana-mana pemain yang belum mendapat hak mereka, datang jumpa dan kami akan mencuba apa yang patut untuk menyelesaikannya,” katanya.

Dalam perkembangan sama, ‘Apex’ tidak menganggap isu tu akan mengganggu fokusnya bersama skuad kebangsaan yang bakal mengharungi kempen Piala AFF Suzuki 2016 di Myanmar pada 20 November ini.

“Saya rasa sebelum ini dah banyak masalah, jadi saya rasa perkara ini kecil sahaja bagi saya. Kita cuba fokus kerja kita satu demi satu dan buat masa ini, saya fokus bersama skuad kebangsaan beraksi pada Piala AFF Suzuki. Tiada apa yang mengganggu fokus saya sekarang.

“Saya rasa pemain-pemain sudah profesional. Mereka tahu kerja masing-masing. Jadi, perkara ini tiada masalah untuk mereka fokus kerja masing-masing,” katanya.

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=1110&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4PaicHZn1 Hakcipta terpelihara

Tiada ulasan:

Catat Ulasan