ARKIB : 28/10/2010
Oleh Yatimin Abdullah
sukan@utusan.com.my
Khairul Fahmi Che Mat menjalani
latihan sebagai persiapan menghadapi Negeri Sembilan pada perlawanan akhir
Piala Malaysia pada Sabtu ini. - UTUSAN/Zulhanifa Sidek
KOTA BHARU - Sebelum ini nama
Khairul Fahmi Che Mat atau lebih mesra dengan panggilan 'Apek' tidak langsung
tersenarai sebagai pemain yang diminati oleh penyokong setia The Red Warriors.
Rata-rata mereka lebih mengenali
nama Syed Adney Syed Hussin dan pemain veteran, Halim Napi diberi tugas
mengawasi gawang Kelantan berbanding Khairul yang dilihat masih mentah dengan
pengalaman.
Memiliki susuk tubuh yang kecil
dengan ketinggian sederhana, ramai yang tidak mengetahui bahawa anak muda
berusia 21 tahun dari Kampung Cherang di sini, pernah merantau untuk menimba
pengalaman dengan beberapa pasukan lain seperti PKNS (2007) dan Harimau Muda
(2008).
Bakatnya mula terserlah selepas
dipilih sebagai penjaga gol utama skuad negara ketika menyertai Kejohanan Juara
Kelab Belia yang berlangsung di Sarawak pada 2007.
Selepas merantau menimba ilmu
pada 2008, Khairul Fahmi akhirnya pulang kepangkuan pasukan negeri kelahirannya,
Kelantan ketika The Red Warriors menghadapi saingan Piala Malaysia tetapi
langkah 'Sang Kijang' tidak panjang ketika itu.
Musim 2009 menyaksikan Khairul
Fahmi hanya diletakkan sebagai penjaga gol ketiga di belakang Shahrizan Ismail
dan Halim Napi, malah dia kerap diturunkan mewakili pasukan Piala Presiden.
Melihat persaingan yang cukup
sengit untuk merebut posisi tersebut daripada dua pemain senior termasuk Halim
yang sudah dianggap legenda, Khairul Fahmi pernah terfikir untuk meninggalkan
Kelantan mencari pasukan baru.
Menurut Khairul, atas nasihat
rakan-rakan dan mereka yang berpengalaman, hasrat itu terpaksa dikuburkan.
Pada masa yang sama dia tidak
pernah jemu memperbaiki persembahan untuk 'memikat' ketua jurulatih B.
Sathianathan bagi posisi utama.
Dalam pertemuannya dengan Utusan
Malaysia di sini, semalam anak muda yang tidak kenal erti putus asa ini
berjanji mempamer persembahan terbaik.
"Musim ini saya diletakkan
sebagai penjaga gol kedua di belakang Syed Adney selepas Shahrizan digugurkan.
Aksi pertama saya bersama pasukan ketika Kelantan bertemu T-Team di Kuala
Terengganu pada 6 Mac lalu.
"Saya diturunkan kerana Syed
Adney mengalami sedikit kecederaan dan tidak dapat beraksi. Walaupun tugas
penjaga gol sangat berat kerana penyokong sentiasa mahukan kemenangan, namun
itu bukan alasan saya menarik diri" jelasnya.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1028&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz5cxCDRU7h
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan