ARKIB : 24/07/2010
Khairul idam jadi penjaga gol No.
1
Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my
KHAIRUL FAHMI CHE MAT
KUALA LUMPUR - Pada permulaan
musim Liga Super, Khairul Fahmi Che Mat mungkin tidak sepopular dua lagi
penjaga gol Kelantan, Halim Napi dan Syed Adney Syed Hussein.
Namun, sebaik sahaja tirai liga
sudah hampir tiba ke babak penghujung, namanya kini menjadi sebutan di kalangan
peminat bola sepak tempatan khususnya penyokong fanatik skuad Red Warriors
selepas berjaya merampas kedudukan sebagai penjaga No. 1 Kelantan.
Dilahirkan pada 7 Januari 1989,
Khairul yang baru berusia 21 tahun dilihat antara bakat muda yang akan menjadi
taruhan utama skuad kebangsaan pada masa hadapan.
Mungkin jika rezekinya, Khairul
dijangka berada di dalam kesebelasan utama pada Sukan Asia di Guangzhou kerana
dua penjaga gol lain, Mohd. Sharbinee Allawee dan Mohd. Farizal Marlias sudah
melepasi had umur 23 tahun.
Menurut anak jati Kota Bharu ini,
dia menganggap 2010 seolah-olah tahun tuah baginya kerana dapat menjadi penjaga
gol No. 1 Kelantan dan dipanggil menyertai pasukan Malaysia.
''Segalanya berjalan dengan cukup
baik buat saya pada tahun ini, daripada sekadar diletakkan sebagai penjaga gol
ketiga, saya kini adalah pilihan utama jurulatih Kelantan, B. Sathianathan.
''Selepas itu, dipanggil pula
oleh K. Rajagobal menyertai skuad kebangsaan dan saya anggap ia seolah-olah
mimpi menjadi kenyataan kerana segalanya bergerak terlalu pantas.
''Kini, impian saya adalah mahu
menjadi penjaga gol satu negara pada masa hadapan,'' katanya kepada Utusan
Malaysia, semalam.
Bagaimanapun, dia menganggap
perkara itu terletak dalam perancangan Rajagobal dan dia hanya memberikan yang
terbaik dalam sesi latihan atau perlawanan jika diturunkan pada mana-mana
perlawanan persahabatan.
''Prinsip saya, jika seseorang
memberikan kepercayaan, saya akan membalasnya dengan menampilkan persembahan
yang baik dan itu saya telah lakukan ketika bersama Kelantan.
Walaupun tidak mempunyai
pengalaman di peringkat antarabangsa, Khairul pernah mendapat asuhan Rajagobal
ketika beraksi bersama skuad Harimau Muda sebelum menyertai PKNS dan ke
Kelantan pada penghujung tahun 2008.
Jauh di sudut hatinya, dia
mengakui masih banyak perlu dipelajari dan tidak mahu berasa cepat lupa diri.
''Pengalaman saya bermain di
peringkat tertinggi masih kurang dan jika mahu hendak berjaya, saya harus
belajar dari satu peringkat ke satu peringkat,'' katanya.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0724&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz5bhT75gaF
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan