ARKIB :
30/03/2011
Oleh MUHAMMAD
DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my
Penjaga gol
skuad Olimpik negara, Khairul Fahmi Che Mat sudah bersedia untuk menerima siapa
sahaja lawan Malaysia pada pusingan kedua kelayakan Olimpik 2012 apabila majlis
undian dilangsungkan di Rumah AFC, Kuala Lumpur hari ini.
KUALA LUMPUR -
Berilah pasukan mana sekali pun, kapten skuad Olimpik negara, Khairul Fahmi Che
Mat atau Apek tidak gentar sebaliknya bersedia memberikan yang terbaik bagi
membantu Malaysia melangkah lebih jauh dalam kelayakan Olimpik London 2012.
Mengakui sudah
tidak boleh memilih lawan apabila sampai di peringkat pusingan kedua, penjaga
gol No. 1 negara itu tekad memberikan yang terbaik walaupun Malaysia diundi
pasukan yang lebih handal seperti Jepun, Korea Selatan atau Australia.
"Jika
boleh memang kami mahu berdepan pasukan yang tidak terlalu kuat tetapi apabila
berada pada tahap ini, saya rasa kami semua harus bersedia daripada segi mental
dan fizikal untuk menerima siapa sahaja lawan kami.
"Mana-mana
pasukan sekali pun, saya tidak kisah sebaliknya saya menganggap ia sebagai
cabaran untuk mendapatkan kemenangan.
"Saya
akan melakukan kerja rumah mengenai lawan, tidak terlalu menghormati atau
memikirkan sangat mengenai keputusan, " katanya ketika dihubungi, semalam.
Majlis
pengundian kelayakan Olimpik dan kelayakan Piala Dunia 2014 akan dijalankan di
Rumah Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Bukit Jalil, hari ini.
Malaysia yang
mara ke pusingan kedua kelayakan Olimpik selepas menyingkir Pakistan dengan
agregat 2-0, bakal diundi dengan salah satu pasukan pilihan yang mendapat bye
pada pusingan pertama.
Antara pasukan
yang bakal menjadi lawan skuad negara pada pusingan kedua nanti ialah Jepun,
Australia, Korea Selatan, China, Bahrain, Arab Saudi, Qatar, Iraq, Syria,
Uzbekistan, Korea Utara dan Lebanon.
Jika berjaya
melepasi pusingan kedua dalam perlawanan kalah mati yang diadakan secara timbal
balik pada 19 dan 23 Jun depan, Malaysia bakal beraksi pada peringkat kumpulan
yang dibahagikan kepada tiga dengan empat pasukan yang merupakan pusingan
kelayakan terakhir.
Juara setiap
kumpulan akan layak secara automatik manakala naib juara akan bersaing sesama
sendiri bagi merebut satu slot ke Sukan Olimpik.
Apek
memberitahu pendedahan skuad Harimau Muda A ke Slovakia selama beberapa tahun,
bakal menjadi azimat berguna seandainya Malaysia diundi menentang pasukan dari
Asia Barat.
"Corak
permainan fizikal yang diamalkan oleh pasukan negara Arab tidak menjadi masalah
besar kepada pemain muda Olimpik kerana mereka sudah ada pengalaman ketika di
Slovakia.
''Saya yakin
kami mampu memberikan aksi terpuji jika negara Asia Barat menjadi lawan kami
dan tidak mustahil kami mampu mencatatkan kemenangan jika semua pemain
memberikan yang terbaik, " katanya.
SUMBERArtikel
Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0330&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz5duqjn8Qz
© Utusan
Melayu (M) Bhd