MyMetroArena
Aziman Rosdi
aziman@nstp.com.my

KUALA LUMPUR: Penjaga gol
kebangsaan Khairul Fahmi Che Mat menegaskan kemenangan 3-1 ke atas Kemboja
dalam aksi persahabatan antarabangsa kelmarin bukan jaminan laluan mudah buat
Harimau Malaya dalam kempen Piala AFF November ini.
Pemain berusia 29 tahun itu
percaya, mereka seharusnya berwaspada dengan kebangkitan pasukan ‘underdog’
seperti Kemboja dan Laos yang mampu melakukan kejutan bagi saingan Kumpulan A.
“Pasukan Kemboja sangat berbeza
di bawah Keisuke Honda (jurulatih baru). Saya pernah bermain menentang Kemboja
sebelum ini tapi ini pasukan Kemboja yang terbaik,” kata pemain Melaka United
itu.
“Saya percaya pada Piala AFF
nanti, kita tak boleh ambil mudah pasukan ‘underdog’, kita kena bersedia kerana
mereka boleh bangkit.”
Selain Kemboja dan Laos, skuad
Harimau Malaya kendalian Tan Cheng Hoe perlu berdepan pasukan pilihan Vietnam
dan Myanmar untuk melepasi halangan Kumpulan A yang bakal bermula 8 November
depan.
Dalam aksi persahabatan di
Stadium Olimpik Nasional Phnom Penh kelmarin, Malaysia bangkit meledak gol pada
babak kedua menerusi Shahrul Saad, Syazwan Andik dan Shahrel Fikri selepas
Soeuy Visal membuka jaringan untuk tuan rumah.
Bagaimanapun, skuad kebangsaan
seharusnya berterima kasih kepada Khairul Fahmi atau Apek yang menyelamatkan
hampir lima percubaan bahaya Kemboja.
Biarpun mempamerkan aksi bertaraf
wira itu, dia yang menjadi tonggak utama skuad juara Piala AFF 2010 mengakui
belum ada jaminan untuknya memegang status penjaga gol nombor satu negara.
“Masih banyak yang perlu saya perbaiki,
kena kerja kuat lagi untuk rebut tempat dalam skuad ke Piala AFF,” kata Khairul
Fahmi.
Selain Khairul Fahmi, Cheng Hoe
kini memiliki beberapa pilihan untuk posisi penjaga gol antaranya Farizal
Marlias, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy, Haziq Nadzli, Izham Tarmizi dan
Ifwat Akmal Chek Kassim.
SUMBERArtikel ini disiarkan pada
: Rabu, 12 September 2018 @ 4:49 PM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan