MOHAMMAD ROZAIDI ZULKIFLI | 08
September 2016 12:18 AM
KHAIRUL FAHMI CHE MAT
SEPANG 7 Sept . - Penjaga gol
Khairul Fahmi Che Mat tidak menyalahkan pemain tertentu ekoran kekalahan
Harimau Malaysia kepada Indonesia dalam perlawanan persahabatan di Stadium
Manahan, Solo semalam.
Pemain Kelantan itu menegaskan,
bola sepak adalah permainan berpasukan dan kemenangan atau kekalahan bukan
disebabkan oleh seseorang individu.
“Saya tidak salahkan hanya kepada
seorang atau dua pemain sahaja kerana ini sukan berpasukan jadi semua harus
bertanggungjawab di atas kekalahan ini.
“Sebagai rakan sepasukan
seharusnya masing-masing saling membantu antara satu sama lain dan isu tewas
disebabkan kesilapan seorang pemain tidak sepatutnya timbul,” katanya kepada pemberita
di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebaik sahaja tiba dari
Indonesia.
Perlawanan semalam menyaksikan
beberapa kesilapan mudah dilakukan pemain negara menjadi punca kekalahan mereka
yang menyaksikan tuan rumah memperoleh tiga gol pantas dalam tempoh 22 minit
pertama permainan.
Lebih dikenali sebagai Apex,
penjaga gol itu berkata mereka tidak fokus pada awal permainan sehingga
melakukan beberapa kesilapan mudah yang tidak sepatutnya dilakukan.
Penjaga gol itu mengakui perasaan
kecewa dirasai oleh semua pemain di atas kekalahan itu.
“Bagi saya kita hilang fokus pada
awal permainan dan kesilapan sendiri dihukum pemain Indonesia. Kita juga tahu
mereka telah lama tidak beraksi di pentas antarabangsa dan pastinya keinginan
mereka untuk menang adalah tinggi, tambahan beraksi di tempat sendiri.
“Sesiapa sahaja yang menjadi ahli
sukan apabila tewas pastinya berasa kecewa dan sedih namun kita tidak boleh
meratapi kekalahan itu kerana ini adalah lumrah pertandingan. Kini apa yang
diperlukan adalah belajar daripada kesilapan dan cuba untuk tidak mengulangi
kesilapan itu lagi,” ujarnya.
- Sumber:
http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/salah-semua-8211-khairul-1.379759#sthash.YmPMRucq.dpuf
Tiada ulasan:
Catat Ulasan