MyMetroArena
Nazri Abu Bakar
sukanteam@nstp.com.my

PENJAGA gol Melaka United (MU),
Khairul Fahmi Che Mat (Apek) teruja dipanggil menyertai skuad kebangsaan
menjelang aksi persahabatan antarabangsa kelas A menentang Fiji di Stadium Bola
Sepak Kuala Lumpur, Cheras, pada 5 Julai ini.
Khairul Fahmi atau lebih mesra
dengan panggilan Apek tersenarai dalam sesi latihan pusat di bawah bimbingan
ketua jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe bersama 10 pemain bawah 25 tahun,
selain 11 daripada 23 pemain yang beraksi dalam Kelayakan Piala Asia 2019
menentang Lubnan, 27 Mac lalu dan persahabatan bertemu Bhutan, 1 April lalu.
Apek bakal bersaing bersama
penjaga gawang yang berada dalam senarai kali ini termasuk Ifwat Akmal Chek
Kassim (Kedah) dan Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy (Perak).
Baginya, panggilan menyarung
jersi skuad kebangsaan disifatkannya sebagai tuah anak ketiga yang baru
dilahirkan pada Ramadan lalu yang turut dianggap rezeki berganda buatnya.
“Ini rezeki kelahiran anak ketiga
buat kami sekeluarga dengan penampilan bersama MU sejak Mei lalu dianggap
sebagai motivasi buat saya membantu kejayaan skuad negara.
“Saya perlu bekerja keras untuk
berusaha merebut tempat dalam skuad terbabit dan akan memberi yang terbaik
untuk terpilih ke Piala AFF.
“Saingan tetap sengit, apapun
paling penting kekal fokus pada sesi latihan dan perlawanan persahabatan bagi
membolehkannya tersenarai dalam kesebelasan pasukan kali ini,” katanya.
Menurutnya, gabungan pemain muda
dan berpengalaman dilihat mampu untuk membentuk persembahan yang positif buat
skuad negara mencipta kejayaan.
Justeru, dia juga mengharapkan
beberapa perlawanan persahabatan antarabangsa menjadi pentas terbaik untuk
membina keserasian menjelang perlawanan di Piala AFF kelak.
Selepas aksi menentang Fiji,
Harimau Malaya dijadualkan mengharungi lima lagi aksi persahabatan kelas A
bertemu Taiwan (7 September), Kemboja (11 September), Sri Lanka (12 Oktober),
Republik Kyrgyz (16 Oktober) dan Maldives (3 November).
Kesemua perlawanan ini sebagai
persiapan bagi menghadapi Piala AFF 2018 yang bakal berlangsung pada 8 November
hingga 15 Disember depan.
Malaysia diundi dalam Kumpulan A
bersama Kemboja, Laos, Vietnam dan Myanmar.
SUMBERArtikel ini disiarkan pada
: Ahad, 24 Jun 2018 @ 1:45 PM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan