MyMetroNode
Penjaga gol Harimau Malaya
Khairul Fahmi Che Mat percaya mereka boleh menyekat Emiriah Arab Bersatu (UAE)
jika berjaya merantai pergerakan pemain perancang Omar Abdulrahman dalam
pertembungan Kumpulan A kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 di Mohammed
Bin Zayed Stadium esok.
Menurut Khairul Fahmi, mereka
perlu berhati-hati sekiranya Omar diturunkan jurulatih UAE Mahdi Ali kerana
pemain kelab Al Ain itu pasti menjadi nadi kepada pergerakan jentera serangan
skuad ‘The Whites’.
“UAE pasukan hebat, mereka pernah
menang Piala Negara Teluk sebelum ini (2013) dan mempunyai ramai pemain bagus
terutama Omar Abdulrahman.
“Kami kena bersedia dengan
serangan di bahagian tengah kerana saya pernah tengok dia bermain, memang
bahaya,” katanya.
Omar bertubuh kecil dan berambut
afro namun lincah menjadi tonggak pasukan mereka ketika muncul naib juara Piala
AFC awal tahun ini dan pemain berusia 23 tahun itu pernah dianugerahkan Pemain
Muda Terbaik Arab 2013 serta tersenarai dalam Pemain Muda Harapan FIFA 2013.
UAE meraih tiga mata dengan
menewaskan Timor Leste 1-0 pada aksi kelayakan Jun lalu namun Malaysia masih
tercari-cari kemenangan pertama selepas seri 1-1 dengan Timor Leste dan tumpas
0-6 di tangan Palestin.
Bagi Khairul Fahmi atau turut
mesra dengan panggilan Apek yang kembali menyarung jersi utama penjaga gol
ketika seri 0-0 dengan Bangladesh pada aksi persahabatan minggu lalu masih menaruh
harapan untuk Harimau Malaya melakar kejutan.
“UAE akan menjadi tuan rumah bagi
Piala Asia 2019 tentu mereka nak menang di sini jadi kita kena bersedia dari
segi fizikal dan mental.
“Keyakinan masih ada, kita
bertemu UAE sebuah pasukan yang kuat. Kita hormat mereka tapi tak mustahil
untuk buat kejutan. Kita masih ada masa untuk memperbaiki kelemahan dan
menyesuaikan diri dengan cuaca agak panas di sini. Harap kita boleh mengikut
segala strategi yang diatur oleh jurulatih Dollah Salleh nanti,” kata pemain
Kelantan itu.
SUMBERArtikel ini disiarkan pada
: Rabu, 2 September 2015 @ 8:39 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan