MyMetroArena
Shamsul Kamal Amarudin
shaka@nstp.com.my

MELAKA United harus menggandakan
usaha termasuk membaiki kesilapan dilakukan pemain bagi mengelak pasukan terus
mengalami kekalahan.
Itu rumusan dibuat penolong ketua
jurulatih, Mohd Nidzam Adzha Yusoff selepas pasukan bimbingannya tewas kepada
PKNP 0-1 hasil jaringan sendiri pemain pertahanan, Ahmad Khuzaimi Piee pada
minit ke-66.
Sebelum ini, pasukan Hang Tuah
tewas 2-3 kepada PKNS dalam saingan Piala FA dan 3-4 kepada Selangor dalam
perlawanan Liga Super di hadapan penyokong sendiri.
"Jika dirumuskan balik dalam
ketiga-tiga perlawanan yang kami tewas, kesemua gol pihak lawan adalah kesilapan
pemain sendiri.
"Jadi, perlu digandakan
usaha dan tingkatkan latihan (membaiki kesilapan pertahanan) untuk mendapat
keputusan yang positif," katanya.
Mengulas perlawanan malam tadi,
Nidzam Adzha berpuas hati dengan usaha dan komitmen pemain yang lebih banyak
mencipta peluang di barisan hadapan berbanding tuan rumah.
"Malangnya, kami tidak dapat
menterjemahkan peluang itu kepada jaringan dan sedikit kesilapan gol sendiri,
kami kehilangan mata," katanya.
Beliau berkata, pasukan itu kini
membuat persiapan dalam melayan kunjungan Kedah bagi saingan Liga Super
seterusnya.
"Bagi saya, setiap pasukan
dalam Liga Super adalah seimbang, prestasi semasa perlawanan yang menentukan
(siapa pemenang)," katanya.
SUMBERArtikel ini disiarkan pada
: Ahad, 14 April 2019 @ 8:19 PM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan