Isnin, 25 September 2017

Harimau gugur Apek, buka peluang Yan



Khamis, 12 March 2015 | 5:38pm
Harimau gugur Apek, buka peluang Yan
Oleh Wan Fakhrul Bakar
wanfakhrul@bh.com.my
 
DARI kiri; Shahrulnizam Mustapa, Khairul Azhan Khalid, Norfarhan Muhammad, Khairul Fahmi Che Mat, Azidan Sarudin dan Azamuddin Akil pada majlis pelancaran kasut larian terbaharu Puma Ignite di 1 Utama, Bandar Utama, di sini, hari ini. - Foto Goh Thean Howe

PETALING JAYA: Dua penjaga gol, Khairul Azhan Khalid dari Pahang dan Farizal Marlias dari Johor Darul Ta'zim (JDT) dinamakan untuk menyertai kem latihan pusat skuad Harimau Malaya bagi menghadapi aksi persahabatan antarabangsa bertemu pasukan ranking ke-96 dunia, Oman pada 26 Mac ini.

Kedua-dua mereka dipanggil oleh jurulatih Harimau Malaya, Dollah Salleh dalam senarai 20 pelatih bagi menghadapi pertemuan di Stadium Seeb, Oman nanti.

Ini bermakna, nama penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat yang sebelum ini sentiasa menjadi pilihan dalam skuad Harimau Malaya tercicir dalam senarai pelatih skuad kebangsaan kali ini.

Ketika muncul naib juara Piala Suzuki AFF 2014, Disember lalu, Dollah menyenaraikan ketiga-tiga penjaga gol berkenaan dengan Khairul Fahmi diturunkan pada tiga perlawanan awal peringkat kumpulan dan separuh akhir pertama bertemu Vietnam di Shah Alam.

Farizal pula beraksi pada separuh akhir kedua di Hanoi serta kedua-dua aksi final bertemu Thailand, manakala Khairul Azhan langsung tidak diturunkan.

Khairul Fahmi, 26, atau lebih dikenali sebagai Apek menyambut penggugurannya kali ini dengan reaksi positif apabila bertekad untuk memperbaiki kekurangannya sepanjang lima perlawanan musim ini - empat Liga Super dan satu Piala FA yang menyaksikan gawangnya sudah dibolosi lima gol.

"Ini pilihan Dollah. Apa yang perlu saya buat, perbaiki diri untuk memberikan semula keyakinan kepadanya untuk menyenaraikan semula saya dalam skuad kebangsaan.

"Ia mungkin saya satu motivasi juga untuk saya memperbaiki apa yang kurang tahun ini. Mungkin ada sesuatu yang tak betul dalam diri saya, jadi saya perlu lebih bekerja keras meningkatkan prestasi.

"Mungkin tahap untuk berada dalam skuad kebangsaan, saya belum capai lagi sepanjang aksi liga musim ini.

KHAIRUL Fahmi ketika ditemui pada majlis pelancaran kasut larian terbaharu Puma Ignite di 1 Utama, Bandar Utama, di sini, hari ini. - Foto Goh Thean Howe

"Sedih tu memang sedih juga, tapi ia memberi semangat baharu untuk saya meneruskan karier dan cuba meningkatkan lagi prestasi," kata Khairul Fahmi ketika ditemui pada majlis pelancaran kasut larian terbaharu Puma Ignite di 1 Utama, Bandar Utama, di sini, hari ini.

Aksi cemerlang Khairul Fahmi pernah membantu skuad kebangsaan kendalian Datuk K Rajagobal menjuarai Piala Suzuki AFF 2010 dan bersama skuad B-23 negara di bawah Datuk Ong Kim Swee memenangi emas Sukan SEA 2011 di Jakarta, Indonesia.

Ditanya adakah dia bersedia merampas semula jersi nombor satu skuad Harimau Malaya menjelang aksi Kelayakan Piala Asia 2019 yang turut merangkap sebagai Kelayakan Piala Dunia 2018 bermula Jun ini, Khairul Fahmi berkata: "Ya, ia sentiasa ada dalam diri saya untuk menyarung jersi nombor satu negara...jadi saya takkan pernah berputus asa."

Sementara itu, Khairul Azhan, 26, atau lebih mesra dipanggil Yan yang turut ditemui pada majlis yang sama berkata, dia mengimpikan penampilan kedua di pentas antarabangsa untuk bertemu Oman, 26 Mac ini.

Sebelum ini dia diberi peluang beraksi oleh Kim Swee selaku pengendali sementara skuad kebangsaan ketika seri 0-0 pada aksi persahabatan antarabangsa bertemu Filipina di Stadium Selayang, 1 Mac tahun lalu.

"Insya-Allah jika diberi peluang beraksi bertemu Oman, ia akan jadi penampilan kedua saya di pentas antarabangsa selepas beraksi bertemu Filipina, setahun lalu.

"Tiada istilah untuk merampas tempat daripada Khairul Fahmi atau Farizal tetapi jika diturunkan, saya akan buat yang terbaik untuk membalas kepercayaan Dollah," kata penjaga gol berasal dari Kuantan itu.

Ditanya mengenai prestasi semasanya bersama Pahang musim ini apabila baru bolos tiga gol selepas empat perlawanan Liga Super, Khairul Azhan ringkas berkata: "Alhamdulillah, tiada apa-apa, semuanya ok. Cuma harap tiada kecederaan menimpa."

PROFIL

Nama: Khairul Fahmi Che Mat

Nama panggilan: Apek

Umur: 26 tahun

Tarikh lahir: 7 Januari 1989

Tempat lahir: Kota Bharu, Kelantan

Tinggi: 1.73 m

Pasukan

2008-2009: Harimau Muda

2009-2015: Kelantan

Pencapaian individu: Penjaga gol terbaik Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2010, 2011, 2012, 2013

Nama: Khairul Azhan Khalid

Nama panggilan: Yan

Umur: 26 tahun

Tarikh lahir: 7 November 1989

Tempat lahir: Kuantan, Pahang

Tinggi: 1.78 m

Pasukan

2010-2012: Shahzan Muda

2013-2015: Pahang
BERITA HARIAN ONLINE Khamis, 12 March 2015 | 5:38pm

Tiada ulasan:

Catat Ulasan