Jumaat, 18 November 2016 |
5:25pm
Daripada Mohamad Zulfaizan
Mansor
zulfaizan@bh.com.my

PENJAGA Gol Harimau Malaysia,
Hafizul Hakim pada sesi latihan di Stadium Aung San menjelang aksi kejohanan
Piala Suzuki AFF 2016 yang bermula 20 November ini. - Foto Osman Adnan
YANGON: Penjaga gol skuad
Harimau Malaysia Khairul Fahmi Che Mat menegaskan betapa saingan sengit
daripada tiga penjaga gol sekali lagi menyebabkan jurulatih, Datuk Ong Kim Swee
dan Yong Wai Hwang pening kepala memilih pemain utama di posisi itu untuk berdepan
Kemboja dalam saingan Piala AFF Suzuki, Ahad ini.
Khairul Fahmi atau Apek
bagaimanapun menjelaskan persaingan sengit antara dia dengan Khairul Azhan
Khalid dan Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy dalam merebut tempat adalah
perkara positif buat Harimau Malaysia.
"Bagi saya, masing-masing
bersaing merebut tempat dalam kesebelasan utama. Kita bagi jurulatih Datuk Ong
(Kim Swee) dan Yong (jurulatih penjaga gol) pening kepala untuk buat keputusan.
"Apapun, persaingan kami
adalah persaingan yang sihat dan baik untuk pasukan. Pening kepala jurulatih
juga adalah positif kerana perlu memilih penjaga gol yang terbaik daripada tiga
penjaga gol yang baik," katanya yang menjulang Piala AFF Suzuki pada 2010.
Sebelum ini, Yong pernah
meluahkan kesukarannya untuk memilih penjaga gol utama selepas Apek, Khairul
Azhan dan Hafizul Hakim menunjukkan prestasi cemerlang.
Namun, Kim Swee pula
menjelaskan hanya akan melakukan tiga perubahan maksimum daripada kesebelasan
utama ketika perlawanan dengan Papua New Guinea, Isnin lalu untuk berdepan
Kemboja nanti.
Justeru, Apek perlu
mengharapkan posisi penjaga gol turut termasuk dalam tiga perubahan itu kerana
ketika berdepan Papua New Guinea, Khairul Azhan yang diturunkan sebagai pemain
utama.
Selain itu Apek menjelaskan
betapa situasi sama dihadapi Harimau Malaysia ketika ini dengan 2010 dan 2014
selepas skuad itu tidak diberi harapan tinggi oleh penyokong.
"Pada 2010 kami juara dan
2014 kami ke final walaupun pada awalnya pasukan tidak diberikan harapan yang
tinggi.
"Keadaan sekarang saya
rasa sama seperti 2010, walaupun harapan sedikit buat kami, tapi kami masih ada
kemampuan untuk pergi lebih jauh dalam kejohanan ini," katanya.
BERITA HARIAN ONLINE Jumaat, 18
November 2016 | 5:25pm
Tiada ulasan:
Catat Ulasan