Khamis, 9 Februari 2017 |
12:28am
Apek bimbang ancaman FELDA
Oleh Hasbullah Ibrahim
bhsukan@bh.com.my

PENJAGA gawang Kelantan,
Khairul Fahmi Che Mat. - Foto Osman Adnan
KOTA BHARU: Penjaga gawang
Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat menuntut rakan sepasukan berwaspada dengan
ancaman FELDA United FC ketika berkunjung ke Stadium Tun Abdul Razak, Jengka
dalam aksi Liga Super, Sabtu ini.
Khairul Fahmi yang lebih mesra
dengan panggilan Apek berkata, selaku benteng terakhir, dia akan memastikan
gawangnya tidak dibolosi dengan mudah oleh penyerang skuad kendalian Azmi
Mohamed itu.
"Saya begitu lega dengan
kehadiran import, Mamadou Danso, yang mempunyai kebolehan mematahkan hantaran bola
tinggi oleh pihak lawan kerana dia memiliki ketinggian dan susuk badan yang
tegap.
"Malah dia membantu
pertahanan lain seperti Norhafiz (Zamani Misbah), Nik Mohd Shahrul (Azim), Mohd
Qayyum (Marjoni Sabil) dan Mohd Farisham (Ismail) yang dilihat semakin serasi
serta matang dalam mengekang asakan pihak lawan," katanya ketika ditemui
di Pusat Latihan Pertanian MARDI, di sini, hari ini.
Bagaimanapun, penjaga gol
kebangsaan berusia 28 itu mengakui bimbang kerana majoriti pemain The Red
Warriors (TRW) masih dibelenggu masalah kurang kecergasan disebabkan hanya baru
beraksi dalam satu saja perlawanan berbanding pasukan lain yang memasuki
perlawanan keempat.
Katanya, ia sedikit sebanyak
menjejaskan persiapan dan corak permainan Kelantan dalam mengembalikan semula
momentum kemenangan selepas mengalahkan PKNS FC, 3-1, Januari lalu.
"Biarpun tidak dibarisi
pemain 'bintang' berbanding FELDA, mahu atau tidak, kami perlu berjuang
habis-habisan bagi mengelak tercicir mata berharga.
"Kekuatan FELDA terletak
di posisi tengahnya dengan kombinasi Hadin (Azman) dan Zah Rahan (Kranga) yang
dilihat mampu memusnahkan impian Kelantan jika tidak diawasi," katanya.
BERITA HARIAN ONLINE Khamis, 9
Februari 2017 | 12:28am
Tiada ulasan:
Catat Ulasan