Isnin, 25 September 2017

Apek buat Kim Swee, Yong pening kepala



Jumaat, 18 November 2016 | 5:25pm
Daripada Mohamad Zulfaizan Mansor
zulfaizan@bh.com.my
 
PENJAGA Gol Harimau Malaysia, Hafizul Hakim pada sesi latihan di Stadium Aung San menjelang aksi kejohanan Piala Suzuki AFF 2016 yang bermula 20 November ini. - Foto Osman Adnan

YANGON: Penjaga gol skuad Harimau Malaysia Khairul Fahmi Che Mat menegaskan betapa saingan sengit daripada tiga penjaga gol sekali lagi menyebabkan jurulatih, Datuk Ong Kim Swee dan Yong Wai Hwang pening kepala memilih pemain utama di posisi itu untuk berdepan Kemboja dalam saingan Piala AFF Suzuki, Ahad ini.

Khairul Fahmi atau Apek bagaimanapun menjelaskan persaingan sengit antara dia dengan Khairul Azhan Khalid dan Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy dalam merebut tempat adalah perkara positif buat Harimau Malaysia.

"Bagi saya, masing-masing bersaing merebut tempat dalam kesebelasan utama. Kita bagi jurulatih Datuk Ong (Kim Swee) dan Yong (jurulatih penjaga gol) pening kepala untuk buat keputusan.

"Apapun, persaingan kami adalah persaingan yang sihat dan baik untuk pasukan. Pening kepala jurulatih juga adalah positif kerana perlu memilih penjaga gol yang terbaik daripada tiga penjaga gol yang baik," katanya yang menjulang Piala AFF Suzuki pada 2010.

Sebelum ini, Yong pernah meluahkan kesukarannya untuk memilih penjaga gol utama selepas Apek, Khairul Azhan dan Hafizul Hakim menunjukkan prestasi cemerlang.

Namun, Kim Swee pula menjelaskan hanya akan melakukan tiga perubahan maksimum daripada kesebelasan utama ketika perlawanan dengan Papua New Guinea, Isnin lalu untuk berdepan Kemboja nanti.

Justeru, Apek perlu mengharapkan posisi penjaga gol turut termasuk dalam tiga perubahan itu kerana ketika berdepan Papua New Guinea, Khairul Azhan yang diturunkan sebagai pemain utama.

Selain itu Apek menjelaskan betapa situasi sama dihadapi Harimau Malaysia ketika ini dengan 2010 dan 2014 selepas skuad itu tidak diberi harapan tinggi oleh penyokong.

"Pada 2010 kami juara dan 2014 kami ke final walaupun pada awalnya pasukan tidak diberikan harapan yang tinggi.

"Keadaan sekarang saya rasa sama seperti 2010, walaupun harapan sedikit buat kami, tapi kami masih ada kemampuan untuk pergi lebih jauh dalam kejohanan ini," katanya.
BERITA HARIAN ONLINE Jumaat, 18 November 2016 | 5:25pm

Liga Super: Apek minta Kelantan waspada ancaman Nwakaeme



Khamis, 9 April 2015 | 10:29pm
KOTA BHARU: Pasukan Kelantan perlu berwaspada dengan aksi bekas pemainnya, Dickson Nwakaeme apabila bertemu Pahang dalam saingan Liga Super 2015 di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini Sabtu ini.

Penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat berkata barisan pertahanan skuad The Red Warriors (TRW) perlu memberi perhatian yang lebih kepada Dickson kerana pemain itu mempunyai corak permainan cukup berbahaya.

"Kita kena hati-hati kerana Pahang ada kombinasi pemain yang cukup bagus dan Dickson adalah pasukan Pahang.

"Selain dia (Dickson) kita juga perlu berwaspada dengan R Gopinathan, dia mempunyai hantaran lintang yang cukup bagus," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Khairul Fahmi yang lebih mesra dengan panggilan Apek berkata pasukannya perlu meraih kemenangan pada pertemuan itu bagi menaikkan kembali semangat pemain selepas TRW hanya mencatat dua kemenangan dalam saingan liga, setakat ini.

"Kita dahagakan kemenangan selepas hanya mampu menang dua perlawanan setakat ini dan moral pemain juga kena kuat untuk kita kembali fokus dalam saingan Liga Super.

"Aksi hambar ketika menentang Sime Darby FC pada saingan suku akhir Piala FA juga perlu dilupakan dan kita perlu cari kemenangan ketiga (dalam Liga Super) pada musim ini," katanya.

Khairul Fahmi percaya jurulatih baharu pasukan itu, Mohd Azraai Khor Abdullah mempunyai perancangan serta strategi tersendiri untuk menewaskan Pahang.

Kelantan kini berada di kedudukan kelapan Liga Super dengan tujuh mata, selepas hanya mencatat dua kemenangan daripada enam perlawanan. - BERNAMA
BERITA HARIAN ONLINE Khamis, 9 April 2015 | 10:29pm

Harimau gugur Apek, buka peluang Yan



Khamis, 12 March 2015 | 5:38pm
Harimau gugur Apek, buka peluang Yan
Oleh Wan Fakhrul Bakar
wanfakhrul@bh.com.my
 
DARI kiri; Shahrulnizam Mustapa, Khairul Azhan Khalid, Norfarhan Muhammad, Khairul Fahmi Che Mat, Azidan Sarudin dan Azamuddin Akil pada majlis pelancaran kasut larian terbaharu Puma Ignite di 1 Utama, Bandar Utama, di sini, hari ini. - Foto Goh Thean Howe

PETALING JAYA: Dua penjaga gol, Khairul Azhan Khalid dari Pahang dan Farizal Marlias dari Johor Darul Ta'zim (JDT) dinamakan untuk menyertai kem latihan pusat skuad Harimau Malaya bagi menghadapi aksi persahabatan antarabangsa bertemu pasukan ranking ke-96 dunia, Oman pada 26 Mac ini.

Kedua-dua mereka dipanggil oleh jurulatih Harimau Malaya, Dollah Salleh dalam senarai 20 pelatih bagi menghadapi pertemuan di Stadium Seeb, Oman nanti.

Ini bermakna, nama penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat yang sebelum ini sentiasa menjadi pilihan dalam skuad Harimau Malaya tercicir dalam senarai pelatih skuad kebangsaan kali ini.

Ketika muncul naib juara Piala Suzuki AFF 2014, Disember lalu, Dollah menyenaraikan ketiga-tiga penjaga gol berkenaan dengan Khairul Fahmi diturunkan pada tiga perlawanan awal peringkat kumpulan dan separuh akhir pertama bertemu Vietnam di Shah Alam.

Farizal pula beraksi pada separuh akhir kedua di Hanoi serta kedua-dua aksi final bertemu Thailand, manakala Khairul Azhan langsung tidak diturunkan.

Khairul Fahmi, 26, atau lebih dikenali sebagai Apek menyambut penggugurannya kali ini dengan reaksi positif apabila bertekad untuk memperbaiki kekurangannya sepanjang lima perlawanan musim ini - empat Liga Super dan satu Piala FA yang menyaksikan gawangnya sudah dibolosi lima gol.

"Ini pilihan Dollah. Apa yang perlu saya buat, perbaiki diri untuk memberikan semula keyakinan kepadanya untuk menyenaraikan semula saya dalam skuad kebangsaan.

"Ia mungkin saya satu motivasi juga untuk saya memperbaiki apa yang kurang tahun ini. Mungkin ada sesuatu yang tak betul dalam diri saya, jadi saya perlu lebih bekerja keras meningkatkan prestasi.

"Mungkin tahap untuk berada dalam skuad kebangsaan, saya belum capai lagi sepanjang aksi liga musim ini.

KHAIRUL Fahmi ketika ditemui pada majlis pelancaran kasut larian terbaharu Puma Ignite di 1 Utama, Bandar Utama, di sini, hari ini. - Foto Goh Thean Howe

"Sedih tu memang sedih juga, tapi ia memberi semangat baharu untuk saya meneruskan karier dan cuba meningkatkan lagi prestasi," kata Khairul Fahmi ketika ditemui pada majlis pelancaran kasut larian terbaharu Puma Ignite di 1 Utama, Bandar Utama, di sini, hari ini.

Aksi cemerlang Khairul Fahmi pernah membantu skuad kebangsaan kendalian Datuk K Rajagobal menjuarai Piala Suzuki AFF 2010 dan bersama skuad B-23 negara di bawah Datuk Ong Kim Swee memenangi emas Sukan SEA 2011 di Jakarta, Indonesia.

Ditanya adakah dia bersedia merampas semula jersi nombor satu skuad Harimau Malaya menjelang aksi Kelayakan Piala Asia 2019 yang turut merangkap sebagai Kelayakan Piala Dunia 2018 bermula Jun ini, Khairul Fahmi berkata: "Ya, ia sentiasa ada dalam diri saya untuk menyarung jersi nombor satu negara...jadi saya takkan pernah berputus asa."

Sementara itu, Khairul Azhan, 26, atau lebih mesra dipanggil Yan yang turut ditemui pada majlis yang sama berkata, dia mengimpikan penampilan kedua di pentas antarabangsa untuk bertemu Oman, 26 Mac ini.

Sebelum ini dia diberi peluang beraksi oleh Kim Swee selaku pengendali sementara skuad kebangsaan ketika seri 0-0 pada aksi persahabatan antarabangsa bertemu Filipina di Stadium Selayang, 1 Mac tahun lalu.

"Insya-Allah jika diberi peluang beraksi bertemu Oman, ia akan jadi penampilan kedua saya di pentas antarabangsa selepas beraksi bertemu Filipina, setahun lalu.

"Tiada istilah untuk merampas tempat daripada Khairul Fahmi atau Farizal tetapi jika diturunkan, saya akan buat yang terbaik untuk membalas kepercayaan Dollah," kata penjaga gol berasal dari Kuantan itu.

Ditanya mengenai prestasi semasanya bersama Pahang musim ini apabila baru bolos tiga gol selepas empat perlawanan Liga Super, Khairul Azhan ringkas berkata: "Alhamdulillah, tiada apa-apa, semuanya ok. Cuma harap tiada kecederaan menimpa."

PROFIL

Nama: Khairul Fahmi Che Mat

Nama panggilan: Apek

Umur: 26 tahun

Tarikh lahir: 7 Januari 1989

Tempat lahir: Kota Bharu, Kelantan

Tinggi: 1.73 m

Pasukan

2008-2009: Harimau Muda

2009-2015: Kelantan

Pencapaian individu: Penjaga gol terbaik Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2010, 2011, 2012, 2013

Nama: Khairul Azhan Khalid

Nama panggilan: Yan

Umur: 26 tahun

Tarikh lahir: 7 November 1989

Tempat lahir: Kuantan, Pahang

Tinggi: 1.78 m

Pasukan

2010-2012: Shahzan Muda

2013-2015: Pahang
BERITA HARIAN ONLINE Khamis, 12 March 2015 | 5:38pm

Jangan pandang mudah Tok Gajah - Apek



Isnin, 18 April 2016 | 11:58pm
 
PENJAGA gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat.

KOTA BAHARU: Penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat tidak mahu rakan pasukannya memandang rendah kemampuan Pahang yang kini berada di tangga tercorot Liga Super, apabila turun menentang mereka di Stadium Darul Makmur, Pahang, Rabu ini.

Katanya, walaupun ramai pemain Pahang musim lalu sudah meninggalkan pasukan itu namun pemain baharu mempunyai keserasian dengan corak permainan di bawah kendalian jurulatih Razip Ismail.

"Dalam keghairahan bagi mendapatkan tiga mata pada perlawanan tersebut, kami tidak ambil mudah. Kami anggap setiap perlawanan adalah final buat pasukan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Khairul Fahmi yang juga dikenali Apek, mahu rakan sepasukannya berhati-hati dengan penyerang import Pahang, Dalibor Volas yang dilihat berkemampuan menjaringkan gol.

"Dalibor Volas dilihat sebagai ancaman berbahaya bagi kami selepas pemain tersebut meledak hatrik ketika menewaskan Perak pada perlawanan sebelum ini," katanya.

Kelantan kini berada di tangga keenam Liga Super. - BERNAMA
BERITA HARIAN ONLINE Isnin, 18 April 2016 | 11:58pm