Nazri Abu Bakar
sukanteam@nstp.com.my
KEHADIRAN bekas penjaga gol
Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat atau lebih dikenali sebagai Apek dianggap
rahmat buat penjaga gol utama Melaka United (MU), Zamir Selamat.
Baginya, pengalaman luas Apek
memberi impak besar terhadap dirinya dan rakan sepasukan beraksi di tahap
terbaik pada baki aksi Liga Super musim ini.
Malah, dia juga melihat
penyertaan Apek sebagai pentas buatnya dan penjaga gol lain meningkatkan
prestasi semasa, selain memberi peluang mempelajari sesuatu yang baharu dengan
bekas penjaga gawang skuad kebangsaan itu.
"Dia (Apek) adalah kawan baik saya sejak
zaman sekolah dan rakan sepasukan ketika beraksi di peringkat bawah 21 tahun
dan 23 skuad negara sebelum ini.
"Justeru, inilah kesempatan terbaik buat
saya kembali mempelajari sesuatu daripadanya, malah kami sentiasa berusaha
meningkatkan corak permainan masing-masing.
"Pada saya, tidak kira siapa
diturunkan dalam perlawanan termasuk ketika bertemu Perak Sabtu ini, apa yang
penting kami mampu meraih kemenangan dalam pertemuan itu," katanya.
Beliau berkata, kehadiran
jurulatih baharu, E Elavarasan juga memberi impak besar buat pemain memperbaiki
prestasi permainan dalam misi untuk merekod kemenangan MU pada setiap
perlawanan.
"Pemain juga dilihat berjaya
membentuk perubahan besar dalam diri mereka, terutama dalam menterjemahkan
corak yang diterapkan untuk membolehkan pasukan tidak terus berada dalam
kemerosotan prestasi," katanya.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada
: Khamis, 10 Mei 2018 @ 6:30 PM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan