BharianSukanBola
Oleh Rodly Fadly
sukanteam@nstp.com.my
KUALA LUMPUR: Demi karier dan
masa depannya, Khairul Fahmi Che Mat akhirnya akur terpaksa meninggalkan
Kelantan serta mencari pasukan baharu apabila pintu perpindahan kedua dibuka
pertengahan bulan depan.
Khairul Fahmi atau Apek berkata,
walaupun hatinya terlalu berat untuk berbuat begitu, namun dia tidak mempunyai
pilihan apabila Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) mengesahkan khidmatnya
tidak diperlukan lagi di bawah jurulatih baharu, Fajer Ebrahim.
"Rabu lalu saya menemui
Presiden KAFA (Bibi Ramjani Ilias Khan) dan beliau mengesahkan bahawa saya
tidak ada dalam perancangan jurulatih untuk baki musim ini.
"Beliau bercadang melepaskan
saya dan memberitahu beberapa pasukan menunjukkan minat untuk mendapatkan
khidmat saya.
"Sebagai pemain, saya akur
dengan keputusan KAFA. Jika itu yang terbaik untuk saya dan Kelantan, saya
terima dengan hati terbuka.
"Tidak guna untuk saya terus
kekal bersama pasukan jika mereka sudah tidak memerlukan khidmat saya.
"Walaupun hakikatnya saya
terlalu sedih serta berat hati untuk meninggalkan pasukan, namun saya perlu
reda bahawa jodoh saya dengan mereka hanya sampai di sini saja," luah
Apek.
Setakat ini, menurut Bibi, dua
pasukan Liga Super menunjukkan minat terhadap penjaga gol berusia 29 tahun itu
dengan Melaka United sudah membuat tawaran rasmi.
Walaupun Bibi tidak menamakan
satu lagi pasukan dimaksudkan, namun jurulatih Kuala Lumpur, Fabio Maciel
pernah menyatakan hasratnya mendapatkan khidmat Apek apabila pintu perpindahan
kedua dibuka.
Menurut Apek, dia akan menimbang
semua tawaran serta berbincang dengan KAFA terlebih dahulu sebelum membuat
pilihan muktamad.
"Banyak perkara perlu saya
teliti sebelum memilih pasukan yang mahu diwakili. Selain soal gaji dan
kebajikan, saya mahu menyertai pasukan yang mempunyai mentaliti juara.
"Saya baru berumur 29 tahun,
sebagai penjaga gol, perjalanan karier saya masih panjang dan saya yakin masih
mampu memberikan yang terbaik kepada pasukan yang bakal disertai kelak.
"Mungkin ada hikmah daripada
apa yang berlaku. Siapa tahu prestasi serta karier saya akan lebih meningkat
bersama pasukan baharu itu kelak," kata Apek yang mula mewakili Kelantan
sejak 2009.
Sumber-BERITA HARIAN ONLINE Jumaat, 27 April 2018 | 10:36am
Tiada ulasan:
Catat Ulasan