Penjaga gol Melaka United
berkelas dunia selamatkan percubaan tepat Perak
Muhamad Tarmize Mohd. Nor
14 Mei 2018 2:30 AM
APEK (kanan) mempamerkan aksi
cemerlang menafikan deretan percubaan jentera serangan Perak pada aksi Liga
Super di Ipoh kelmarin.
PERAK terpaksa akur dengan
keputusan seri tanpa jaringan dengan Melaka United dalam saingan Liga Super di
Stadium Perak, Ipoh kelmarin apabila beberapa percubaan berbahaya untuk
mendapatkan jaringan dinafikan penjaga gol dan pertahanan pasukan pelawat.
Pengendali Perak, Mehmet
Durakovic berkata, para pemainnya telah menunjukkan aksi yang baik di atas
padang basah untuk memburu kemenangan pada perlawanan yang dihadiri kira-kira
7,500 penyokong, namun dinafikan penjaga gol lawan, Khairul Fahmi Che Mat atau
Apek.
“Kami bermain dengan baik pada
perlawanan itu dan mendapat kira-kira tiga percubaan terbaik untuk mendapatkan
gol.
“Bagaimanapun, penjaga gawang
Melaka United melakukan tugas yang sangat baik apabila menepis segala percubaan
kami,” katanya pada sidang akhbar selepas tamat perlawanan.
Selain menyifatkan Apek sebagai
penjaga gol yang beraksi pada tahap kelas dunia, Durakovic turut memuji barisan
pertahanan pasukan pelawat yang berjaya mengekang asakan penyerang The Bos
Gaurus.
“Sangat susah untuk memecah
pertahanan Melaka United dan menghampiri gawang gol. Saya memuji para pemain
pertahanan mereka,” katanya.
Dalam perlawanan tersebut,
kedua-dua pasukan bermula hambar apabila bola hanya berlegar-legar di bahagian
tengah tanpa sebarang percubaan berbahaya ke atas pasukan lawan.
Tuan rumah memperoleh peluang
untuk mendapatkan jaringan pada minit ke-25 selepas bola sepakan Nor Hakim
Hassan menuju ke gawang pelawat, namun ia ditangkap kemas oleh Apek yang turun
beraksi untuk kali pertama buat Melaka United.
Anak-anak buah E. Elavarasan juga
tidak ketinggalan untuk mencari gol pembukaan dengan melakukan rembatan dari
jarak jauh, namun usaha mereka gagal membuahkan hasil.
Pada babak kedua, aksi cemerlang
Apek berjaya menafikan beberapa percubaan The Bos Gaurus untuk menterjemahkan
jaringan ke gawang Melaka United.
Pemain Perak, Leandro Dos Santos
Oliveira mendapat peluang di hadapan gol pada minit ke-64 apabila menanduk bola
ke gawang Melaka United namun ia turut dinafikan Apek.
SUMBER-KOSMO ONLINE 14 Mei 2018
2:30 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan