30 Disember 2017 3:00 AM
APEK menagih sokongan para
peminat bagi meningkatkan semangat pemain Kelantan pada Kejohanan Bola Sepak
Tiga Penjuru Piala Super Boost SportsFix di Stadium Nasional, Bukit Jalil,
Kuala Lumpur bulan depan.
PENJAGA gol Kelantan, Khairul
Fahmi Che Mat mengintai keputusan positif pada Kejohanan Bola Sepak Tiga
Penjuru Piala Super Boost SportsFix di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala
Lumpur bermula 13 hingga 20 Januari ini.
Penjaga gol skuad kebangsaan itu
juga yakin rakan sepasukan mampu memberikan persembahan cemerlang pada
kejohanan berkenaan sebagai motivasi terbaik bagi menghadapi saingan Liga
Malaysia 2018 bermula Februari depan.
Selain Kelantan, edisi sulung
kejohanan berkenaan turut disertai Ratchaburi FC dari Thailand dan Persija
Jakarta dari Indonesia.
“Pasukan yang ambil bahagian
bukan calang-calang, mereka adalah pasukan terbaik di Indonesia dan Thailand,
manakala kami dalam persiapan musim baharu.
“Jadi ini juga peluang terbaik
menguji keupayaan, keserasian dan persefahaman dalam pasukan yang rata-rata
dibarisi pemain muda,” ujar Khairul Fahmi menerusi satu kenyataan yang
dikeluarkan penganjur, Total Sports Asia kelmarin.
Sehubungan itu, Khairul Fahmi
yang lebih mesra dengan panggilan Apek mengharapkan penyokong skuad The Red
Warriors dapat hadir ke Stadium Nasional bagi memberikan sokongan padu kepada
pasukan berkenaan.
“Di Bukit Jalil kami menjulang
trofi buat kali terakhir iaitu Piala FA pada 2013, saya masih ingat suasana
gamat dengan puluhan ribu penyokong Kelantan membanjiri stadium pada ketika
itu.
“Jadi saya mengharapkan peminat
akan hadir berikan sokongan kerana saya percaya mereka sudah begitu lama
‘merindui’ aksi Kelantan di Bukit Jalil dan suasana yang sama itu berulang
biarpun ia cuma kejohanan pemanas badan,” ujar penjaga gol berusia 28 tahun
itu.
Dalam pada itu, Presiden
Persatuan Bola Sepak Kelantan, Bibi Ramjani Ilias Khan yakin pasukan berkenaan
dapat mempamerkan aksi cemerlang pada kejohanan tersebut selepas menjadi
pasukan tempatan pertama diberi peluang beraksi di Stadium Nasional yang
berwajah baharu.
“Saya yakin pemain-pemain juga
tidak mahu mengecewakan harapan penyokong iaitu mencatat satu keputusan
cemerlang dengan menentang pasukan terbaik dari rantau ini dan ia pastinya
menjadi satu tonik yang baik dan permulaan sempurna untuk musim 2018,” katanya.
– Bernama
SUMBER- KOSMO ONLINE 30 Disember
2017