Sabtu, 30 Disember 2017

Apek tekad gegar Bukit Jalil

30 Disember 2017 3:00 AM
APEK menagih sokongan para peminat bagi meningkatkan semangat
APEK menagih sokongan para peminat bagi meningkatkan semangat pemain Kelantan pada Kejohanan Bola Sepak Tiga Penjuru Piala Super Boost SportsFix di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur bulan depan.

PENJAGA gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat mengintai keputusan positif pada Kejohanan Bola Sepak Tiga Penjuru Piala Super Boost SportsFix di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur bermula 13 hingga 20 Ja­nuari ini.

Penjaga gol skuad kebangsaan itu juga yakin rakan sepasukan mampu memberikan persembahan cemerlang pada kejohanan ber­kenaan sebagai motivasi terbaik bagi menghadapi saingan Liga Malaysia 2018 bermula Februari depan.


Selain Kelantan, edisi sulung kejohanan berkenaan turut disertai Ratchaburi FC dari Thailand dan Persija Jakarta dari Indonesia.

“Pasukan yang ambil bahagian bukan calang-calang, mereka adalah pa­sukan terbaik di Indonesia dan Thailand, manakala kami dalam persiapan musim baharu.

“Jadi ini juga peluang terbaik me­nguji keupayaan, keserasian dan persefahaman dalam pasukan yang rata-rata dibarisi pemain muda,” ujar Khairul Fahmi menerusi satu kenya­taan yang dikeluarkan pe­nganjur, Total Sports Asia kelmarin.

Sehubungan itu, Khairul Fahmi yang lebih mesra dengan panggilan Apek mengharapkan penyokong skuad The Red Warriors dapat hadir ke Stadium Nasional bagi memberikan sokongan padu kepada pasukan berkenaan.

“Di Bukit Jalil kami menjulang trofi buat kali terakhir iaitu Piala FA pada 2013, saya masih ingat suasana gamat dengan puluhan ribu penyokong Kelantan membanjiri stadium pada ketika itu.

“Jadi saya mengharapkan peminat akan hadir berikan sokongan kerana saya percaya mereka sudah begitu lama ‘merindui’ aksi Kelantan di Bukit Jalil dan suasana yang sama itu berulang biarpun ia cuma kejohanan pemanas badan,” ujar penjaga gol berusia 28 tahun itu.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan, Bibi Ramjani Ilias Khan yakin pasukan berkenaan dapat mempamerkan aksi cemerlang pada kejohanan tersebut selepas menjadi pasukan tempatan pertama diberi peluang beraksi di Stadium Nasional yang berwajah baharu.

“Saya yakin pemain-pemain juga tidak mahu mengecewakan harapan penyokong iaitu mencatat satu keputusan cemerlang dengan menentang pasukan terbaik dari rantau ini dan ia pastinya menjadi satu tonik yang baik dan permulaan sempurna untuk musim 2018,” katanya. – Bernama

SUMBER- KOSMO ONLINE 30 Disember 2017

Tiada ulasan:

Catat Ulasan