Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my
KUALA LUMPUR - Penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat
berkata, dia dan rakan sepasukan telah memberikan yang terbaik namun akhirnya
terpaksa akur tersingkir daripada Kelayakan Piala Dunia kepada Singapura
kelmarin.
Menurutnya, semua pemain beraksi dengan semangat
juang yang tinggi tanpa sebarang kelemahan ketara.
"Kami tersingkir bukan kerana ramai pemain
utama tidak beraksi. Semua pemain dalam skuad ini boleh beraksi baik mungkin,
ini adalah barisan terbaik kita.
"Namun ia tidak cukup untuk mengatasi
Singapura. Saya meminta maaf kepada peminat dan mengucapkan terima kasih kepada
penyokong yang memenuhi stadium," katanya.
Khairul Fahmi yang dikenali Apek, mendapat pujian
kerana memberikan aksi cemerlang ketika Malaysia seri 1-1 dengan Singapura
kelmarin, namun akhirnya Harimau Malaya tersingkir dengan agregat 4-6.
Sementara itu, Safiq Rahim lebih kecewa kerana
tidak dapat membantu skuad kebangsaan pada aksi kelmarin kerana digantung
ekoran kad merah yang diterima pada perlawanan pertama Sabtu lalu.
"Saya sangat kecewa, saya tidak tahu hendak
cakap apa selepas kita tersingkir dari Kelayakan Piala Dunia 2014. Lebih sedih
saya tidak dapat beraksi bersama rakan-rakan di atas padang," katanya.
Safiq meminta rakan sepasukan supaya bangkit dan
perbaiki segala kelemahan.
"Kita buka buku baru, perbaiki kelemahan dan
kurangkan kelekaan ketika bermain," katanya.
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan