Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
hafiz.ahmad@utusan.com.my
Ketua pasukan yang juga penjaga gol, Khairul Fahmi
Che Mat (depan) mengetuai rakan sepasukan berterima kasih kepada penyokong
setelah pasukan negara mengatasi Lebanon 2-1 pada Kelayakan Olimpik di Stadium
Nasional Bukit Jalil, kelmarin. - UTUSAN/NOOR ASREKUZAIREY SALIM
KUALA LUMPUR - Dilema baru melanda jurulatih skuad
Olimpik negara, Ong Kim Swee selepas anak buahnya mara ke pusingan akhir bola
sepak Kelayakan Olimpik 2012 selepas menundukkan Lebanon 2-1 secara agregat,
kelmarin.
Tiket ke peringkat kumpulan kelayakan yang disahkan
menerusi jaringan Mohd. Irfan Fazail dan Wan Zack Haikal Wan Nor di Stadium
Nasional Bukit Jalil, kini membingungkan Kim Swee dalam memberikan keutamaan
sama ada Kelayakan Olimpik atau Sukan SEA Indonesia 2011.
Katanya, sebagai juara bertahan, Sukan SEA masih
menjadi keutamaan, namun beliau mendapati jadual perlawanan kedua pusingan
akhir Olimpik jatuh dua atau tiga hari selepas Sukan SEA dirasmikan.
"Mengenai pemain (sebahagian besarnya daripada
Kelayakan Olimpik), mungkin tidak begitu dirisaukan kerana saya boleh
mendapatkan beberapa tonggak skuad kebangsaan macam Baddrol Bakhtiar dan
Bunyamin Umar yang masih boleh bermain dalam Sukan SEA.
"Saya akan cuba kaji keadaan ini dan mungkin
meminta FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) merayu kepada pihak berkenaan
termasuk FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa) supaya menunda perlawanan
ke tarikh yang lain," katanya.
Pusingan akhir Kelayakan Olimpik bagi mencari tiga
setengah tempat (termasuk penentuan dengan wakil Afrika) dijangka berlangsung pada
September, sementara Sukan SEA Ke-26 di Palembang dan Jakarta dijadualkan dari
11 hingga 22 November.
Selain Malaysia, turut menyertai kumpulan 12
pasukan Asia ke pusingan akhir Kelayakan Olimpik 2012 ialah Jepun, Emiriah Arab
Bersatu (UAE), Korea Selatan, Iraq, Oman, Bahrain, Qatar, Syria, Arab Saudi,
Uzbekistan dan Australia.
Undian bagi menentukan kumpulan mana pusingan akhir
kelayakan yang akan disertai 'Khairul Fahmi Che Mat dan rakan' akan ditetapkan
pada 7 Julai di Rumah Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Bukit Jalil.
Kata Kim Swee: "Saya fikir kita tiada pilihan
ke kumpulan yang dikehendaki. Cuma jika tahu lawan lebih awal, kita akan
bersedia lebih rapi seperti sebelum menghadapi Lebanon apabila saya ke sana
untuk mengintip persahabatan mereka dengan Turki."
Pasukan yang layak seterusnya akan dibahagikan
kepada tiga kumpulan, dengan setiap kumpulan terdiri daripada empat pasukan dan
bermain secara timbal balik dari 21 September hingga 14 Mac 2012 dengan hanya
juara kumpulan, layak automatik ke Olimpik London tahun depan.
Naib juara ketiga-tiga kumpulan ini akan berentap
pada pusingan penentuan di sebuah gelanggang sahaja dari 25 hingga 29 Mac 2012,
dengan pemenangnya akan menentang wakil Afrika bagi perebutan tiket terakhir
Olimpik.
Kali terakhir Malaysia layak ke Sukan Olimpik ialah
pada 1980 di Moscow tetapi temasya terbesar dunia itu dipulaukan atas arahan
kerajaan yang membantah pencerobohan Soviet Union ke atas Afghanistan.
Olimpik pertama yang menyaksikan aksi Malaysia
ialah di Munich 1972 dengan berjaya menewaskan Amerika Syarikat 3-0, tetapi
dikalahkan Maghribi 6-0 dan Jerman 3-0 pada peringkat kumpulan.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0625&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5eSfgeeYW
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan