MyMetroUtama

Syazwan Msar
mohdsyazwan@hmetro.com.my
KUALA LUMPUR:
Tampuk pengurusan sudah bertukar, namun penyakit lama - culas membayar gaji -
semakin membarah.
Itulah senario
yang berlaku di dalam Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) hinggakan pemain
mendakwa mereka sudah tidak menerima gaji selama hampir tiga bulan.
Situasi sama
turut melanda skuad Piala Presiden Kelantan dengan tunggakan sudah mencecah
lima bulan dan masih belum ada tanda-tanda perkara itu akan selesai dalam masa
terdekat.
Menurut
sumber, pengurusan berjanji untuk menjelaskan tunggakan gaji pemain secara
berperingkat, namun hingga kini ia dilihat sukar direalisasikan.
Sumber
berkata, pengurusan lama tidak melunaskan gaji April serta Mei dan masalah
terbabit berlanjutan hingga sekarang.
“Pemain menjangka,
peralihan kuasa sebelum ini akan memberi sinar dengan harapan mereka
(pengurusan baharu) akan menyelesaikan tunggakan gaji atau membayar separuh
namun hingga sekarang perkara terbabit tidak berlaku.
“Lebih buruk
lagi, masalah sama terus berlaku walaupun pengurusan baharu sudah ambil alih
sekali gus menyentap semangat pemain untuk beraksi,” katanya ketika dihubungi
Arena Metro.
Sebelum ini,
Presiden KAFA, Wan Abdul Rahim Wan Abdullah memaklumkan pihaknya akan
menyelesaikan segera masalah tunggakan gaji yang ditimbulkan pemain.
Selain
tunggakan gaji ke atas pemain semasa, KAFA juga berdepan tuntutan gaji empat
bekas pemain mereka membabitkan nilai lebih RM300,000.
Empat pemain
berkenaan ialah Mohd Daudsu Jamaluddin, Zairul Fitree Ishak, Norhafiz Zamani
Misbah serta Khairul Fahmi Che Mat.
Sementara itu,
Setiausaha Agung KAFA, Husin Deraman berkata, pihaknya akan mengadakan
perbincangan bersama pengurusan tertinggi badan induk bola sepak negeri itu
bagi membincangkan isu berkenaan.
“Kebanyakan tunggakan
gaji dan masalah kewangan adalah berpunca daripada pengurusan terdahulu. Saya
tidak boleh kata tunggakan gaji itu dapat diselesaikan dalam masa terdekat ini
namun perkara terbabit sememangnya menjadi agenda utama persatuan (membayar
gaji yang tertunggak),” katanya.
SUMBER-Artikel
ini disiarkan pada : Khamis, 29 Ogos 2019 @ 5:30 AM