KEPULANGAN Khairul Fahmi ke Kota Bharu akan disambut secara besar-besaran
pada Isnin ini.
"JANGAN mudah lupa diri dan sentiasa berusaha untuk meningkatkan lagi
potensi yang ada dalam diri untuk terus berjaya pada masa hadapan".
Demikian amanat dan nasihat seorang ayah, Che Mat Hussain, 58, kepada
anaknya, Khairul Fahmi, 21, yang merupakan penjaga gol utama pasukan kebangsaan
dan Kelantan.
Menurutnya, seluruh ahli keluarga bangga dengan pencapaian yang ditunjukkan
Khairul Fahmi atau lebih mesra dengan panggilan 'Pak Su' di kalangan ahli
keluarga selepas berjaya membantu Harimau Malaya bergelar juara buat kali
pertama pada kejohanan bola sepak Piala Suzuki AFF 2010, Rabu lalu.
"Kami semuanya terkejut dengan apa yang telah ditunjukkan olehnya
sepanjang tahun ini. Mungkin ini rezeki buatnya untuk terus maju dalam bola
sepak.
"Kejayaan ini adalah berkat usaha dan displin yang tinggi yang
ditunjukkan serta semangat tidak mudah putus yang ada dalam diri- nya,"
kata Che Mat Hussain ketika ditemui di rumahnya di Kampung Dusun Raja, Cherang,
Kota Bharu semalam.
Tambahnya, sebelum turun beraksi di atas padang, anaknya itu akan
menghubunginya terlebih dahulu untuk memohon restu dan meminta keluarga
mendoakan kejayaannya.
"Setiap kali beraksi baik untuk Kelantan mahupun negara, dia (Khairul
Fahmi) akan menghubungi saya dan ibunya supaya mendoakan keselamatan dan
kejayaannya," ujarnya.
Akhbar semalam melaporkan, persembahan cemerlang penjaga gol Malaysia itu
bukan sekadar menarik peminat baru ke akaun Facebook, malah menempatkannya di
kedudukan kelima tertinggi di seluruh dunia bagi trend terkini laman web sosial
Twitter.
Dalam tempoh sejam, penjaga gol kelahiran Kelantan yang sebelum ini tidak
begitu dikenali, meningkat secara mendadak ke tempat kelima menumpaskan Support
Timnas yang menyokong pasukan bola sepak Indonesia.
Menyentuh mengenai minat Khairul Fahmi dalam bola sepak, ayahnya
memberitahu, ia bermula ketika dia berumur lapan tahun lagi dan apa yang
menarik mengenai Khairul Fahmi, dia hanya minat beraksi sebagai penjaga gol
sahaja.
"Dari kecil lagi, dia cukup minat dengan posisi itu dan mula beraksi
bersama pasukan sekolahnya, Sekolah Kebangsaan (SK) Tapang ketika berumur 12
tahun.
"Selepas itu, dia melanjutkan pelajaran di Sekolah Sukan Bandar
Penawar (SSBP) Johor Bahru sebelumdan berpindah ke Seko- lah Sukan Bukit Jalil
(SSBJ) untuk mengambil Sijil Pela- jaran Malaysia (SPM)," ujarnya.
Dalam pada itu, Che Mat memberitahu, satu sambutan besar-besaran akan
dilakukan oleh penduduk kampung dengan kerjasama wakil rakyat untuk menyambut
kepulangan Khairul.
"Majlis itu akan diadakan pada 3 Januari ini," ujarnya.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan