Selasa, 6 Ogos 2019

MU hilang kelibat Apek temu Pahang


Rabu, 17 Julai 2019 | 7:48pm
 
PENJAGA gol Melaka United, Khairul Fahmi Che Mat. NSTP/Rasul Azli Samad
MU hilang kelibat Apek temu Pahang
Oleh Nazri Abu Bakar
sukanteam@nstp.com.my
MELAKA: Melaka United (MU) terpaksa melupakan khidmat penjaga gol utama, Khairul Fahmi Che Mat ketika skuad itu berdepan Pahang pada aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur, Sabtu ini.

Selepas tidak dapat diturunkan ketika aksi bertemu PKNS FC pada perlawanan di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput semalam, kelibat penjaga gol kebangsaan itu sekali lagi tidak dapat disaksikan pada pertembungan di Kuantan.

Jurulatih MU, Zainal Abidin Hassan, berkata sekali pun ketiadaan Khairul Fahmi dirasai pasukan, dia berharap pemain yang diberi julukan Apex  segera sembuh daripada beberapa kecederaan yang dialami termasuk bahu dan tumit untuk kembali beraksi.

"Kami yakin dia akan dapat diturunkan pada saingan Piala Malaysia namun pengesahan berkaitan tahap kecederaannya akan diperoleh terlebih dulu daripada pegawai perubatan sebelum kembali beraksi.

"Apapun sedikit melegakan berikutan penggantinya Solehin Mamat bertindak cemerlang sepanjang 45 minit pertama ketika berdepan PKNS termasuk menangkis sekurang-kurangnya tiga percubaan bahaya pelawat.

"Pada babak kedua dia tidak banyak diuji cuma satu-satunya yang menghasilkan gol buat PKNS. Apapun semuanya amat positif buatnya yang pertama kali beraksi," kata Zainal.

Zainal berkata, ketiadaan Khairul Fahmi yang mengalami kecederaan ketika 10 minit terakhir berdepan PKNP dua minggu lalu dan ketika sesi latihan, seharusnya digunakan Solehin dan penjaga gol lain untuk meningkatkan keyakinan terutama ketika diberi peluang kelak.
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Rabu, 17 Julai 2019 | 7:48pm

Apek yakin kemampuan Melaka


MyMetroArena
Nazri Abu Bakar
sukanteam@nstp.com.my
 
PENJAGA gol utama Melaka, Khairul Fahmi Che Mat (Apek) yakin skuad terbabit mampu melepasi saingan peringkat kumpulan D untuk mara ke suku akhir Piala Malaysia musim ini.

Selepas berjaya mengutip kemenangan 3-1 berdepan PDRM pada aksi pembukaan kelmarin dia melihat keyakinan tinggi rakan sepasukan dan komitmen untuk membantu kejayaan MU amat memberangsangkan bagi meneruskan rentak kecemerlangan terbabit.

Katanya, mata maksimum berkenaan jelas penting dalam membina keyakinan dan motivasi pemain untuk berdepan ujian getir bertemu Selangor pada aksi kedua Khamis ini di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput.

Menurutnya, apa yang menarik kebangkitan selepas ketinggalan kepada PDRM adalah tonik berharga untuk mendepani cabaran The Red Giants yang juga juara 33 kali piala berprestij berkenaan.

“Apapun masih terlalu awal untuk meramalkan kedudukan pasukan apa yang penting fokus pada setiap perlawanan bagi memastikan setiap keputusan memihak kepada skuad Hang Tuah.

“Saya mengharapkan kecederaan pulih segera bagi membantu pasukan bersaing di pentas Piala Malaysia musim ini," katanya.

Bekas pemain Kelantan itu terlepas tiga perlawanan setakat ini termasuk dua aksi Liga Super serta berdepan The Cops, kelmarin.

Malah dia kemungkinan besar terlepas aksi bertemu Selangor, namun keputusan akhir hanya diketahui menjelang pertemuan berkenaan.

Jurulatih Melaka, Zainal Abidin Hassan sedikit lega berikutan Khairul sudah diberi kebenaran pegawai perubatan untuk menjalani latihan selepas lebih tiga minggu berehat.

Beliau berkata, dia mengharapkan kecederaan tendon penjaga gawang berpengalaman itu pulih sepenuhnya dan cergas untuk diturunkan.

Namun dia hanya menurunkan pemain terbabit sekiranya tidak menjejaskan tahap kecederaannya yang dibimbangi boleh menjadi lebih serius.

SUMBERArtikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Ogos 2019 @ 5:02 PM