MyMetroArena
Firdaus Hashim
firdaushashim@nstp.com.my

KUALA LUMPUR: Ketiadaan watak pemusnah di jentera depan membimbangkan
pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe menjelang aksi kedua Kumpulan A,
menentang Laos dalam kempen Piala AFF 2018 di Stadium Nasional Bukit Jalil,
esok.
Selepas menang tipis 1-0 ke atas Kemboja pada aksi pertama di Stadium
Olimpik, Phnom Penh, Khamis lalu, Cheng Hoe membayangkan bakal melakukan
rombakan terutama di bahagian serangan.
"Ia saya akan buat sedikit pertukaran memandangkan kelemahan kita di
serangan agak ketara ketika aksi pertama. Mungkin ia (rombakan) membabitkan
pertukaran pemain atau perubahan posisi pemain, itu kita kena tunggu malam
esok.
"Saya mahu pasukan gunakan kesempatan beraksi di laman sendiri dengan
sebaik-baiknya dan memburu seberapa banyak gol, sebelum kita berdepan pasukan
kuat Vietnam dan Myanmar," katanya di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari
ini.
Pada aksi sulung di Phnom Penh, taring skuad Harimau Malaya agak tumpul
apabila hanya sekali berjaya merobek gawang Kemboja menerusi tandukan
Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-30.
Tambahan gol yang diharapkan daripada rangkaian penyerang negara, Zaquan
Adha Abd Radzak, Safawi Rasid dan Mohamadou Sumareh gagal disudahkan, termasuk
percubaan Safawi dan Sumareh yang terkena tiang.
Cheng Hoe, 50, yang menjadi penolong jurulatih Datuk K Rajagobal ketika
menjulang kejuaraan pertama 2010 di Jakarta, turut meminta pemainnya supaya
fokus dan tidak melakukan kesilapan mudah terutama di awal permainan.
Katanya, pemain perlu cepat menyesuaikan diri dengan bahang perlawanan
serta jangan terlalu ghairah ketika menyerang, kerana corak serangan balas
penyerang Laos cukup pantas dan berbahaya.
"Pasukan perlu fokus dan konsisten sejak minit awal hingga akhir
permainan. Kita tidak boleh memandang mudah cabaran Laos yang mampu menghukum
pasukan jika kita leka," katanya.
Kemenangan ke atas skuad V Sundramoorthy malam esok akan memberi kelebihan
kepada Harimau Malaya sebelum mengharungi aksi lebih sukar selepas ini.
Jika menang, Malaysia akan membawa kelebihan psikologi serta semangat
tinggi untuk berdepan dua pasukan yang mara ke separuh akhir pada 2016 –
Vietnam dan Myanmar.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 November 2018 @ 2:56 PM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan