Isnin, 12 November 2018

Jangan 'confident sangat' kata Apek


MyMetroArena
Firdaus Hashim
firdaushashim@nstp.com.my
 
KUALA LUMPUR: Biarpun Malaysia dilabel pasukan pilihan menentang Laos di Stadium Nasional Bukit Jalil malam esok, penolong kapten, Khairul Fahmi Che Mat tetap beranggapan kedua-dua pasukan memiliki peluang seimbang.

Khairul Fahmi atau lebih sinonim dengan dipanggil Apek mengingatkan rakan sepasukan supaya tidak terlalu yakin mampu menang, kerana ia akan menjerat diri sendiri jika pemain bersikap terlalu selesa dalam pertemuan penting itu.

Baginya, semua pasukan yang bersaing dalam Piala AFF 2018 memiliki kekuatan tersendiri, termasuk anak didik V Sundramoorthy yang mahu memburu kemenangan selepas tewas 0-3 dalam aksi sulung bertemu Vietnam, Khamis lalu.

"Kita turun untuk tiga mata pada perlawanan esok. Kita akan beraksi di stadium sendiri, jadi kami akan beraksi dengan yakin, tetapi jangan terlampau yakin.

"Laos mungkin boleh membuat kejutan. Jadi kita kena fokus sepenuhnya,” katanya pada sidang media pra-perlawanan peringkat Kumpulan A, Piala AFF 2018 di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Ketika ini, motivasi kem negara berada pada tahap terbaik selepas membuka kempen Piala AFF dengan langkah kanan apabila menewaskan Kemboja 1-0, pada aksi pertama di Stadium Olimpik, Phnom Penh, Khamis lalu.

Kemenangan kedua ke atas Laos nanti bukan saja mencerahkan laluan Malaysia ke separuh akhir, malah ia juga akan membawa kelebihan psikologi untuk berdepan dua pasukan terkuat kumpulan A, Vietnam dan Myanmar, selepas ini.

"Untuk pastikan kita lebih bersedia menentang Vietnam dan Myanmar, kita mesti lepas (menang) dengan Laos.

“Saya percaya rakan-rakan sudah bersedia untuk memberikan 100 peratus dalam perlawanan malam esok," katanya.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 November 2018 @ 5:38 PM

Ahad, 11 November 2018

Jika menang... dapat kelebihan psikologi


MyMetroArena
Firdaus Hashim
firdaushashim@nstp.com.my
 
KUALA LUMPUR: Ketiadaan watak pemusnah di jentera depan membimbangkan pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe menjelang aksi kedua Kumpulan A, menentang Laos dalam kempen Piala AFF 2018 di Stadium Nasional Bukit Jalil, esok.

Selepas menang tipis 1-0 ke atas Kemboja pada aksi pertama di Stadium Olimpik, Phnom Penh, Khamis lalu, Cheng Hoe membayangkan bakal melakukan rombakan terutama di bahagian serangan.

"Ia saya akan buat sedikit pertukaran memandangkan kelemahan kita di serangan agak ketara ketika aksi pertama. Mungkin ia (rombakan) membabitkan pertukaran pemain atau perubahan posisi pemain, itu kita kena tunggu malam esok.

"Saya mahu pasukan gunakan kesempatan beraksi di laman sendiri dengan sebaik-baiknya dan memburu seberapa banyak gol, sebelum kita berdepan pasukan kuat Vietnam dan Myanmar," katanya di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Pada aksi sulung di Phnom Penh, taring skuad Harimau Malaya agak tumpul apabila hanya sekali berjaya merobek gawang Kemboja menerusi tandukan Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-30.

Tambahan gol yang diharapkan daripada rangkaian penyerang negara, Zaquan Adha Abd Radzak, Safawi Rasid dan Mohamadou Sumareh gagal disudahkan, termasuk percubaan Safawi dan Sumareh yang terkena tiang.

Cheng Hoe, 50, yang menjadi penolong jurulatih Datuk K Rajagobal ketika menjulang kejuaraan pertama 2010 di Jakarta, turut meminta pemainnya supaya fokus dan tidak melakukan kesilapan mudah terutama di awal permainan.

Katanya, pemain perlu cepat menyesuaikan diri dengan bahang perlawanan serta jangan terlalu ghairah ketika menyerang, kerana corak serangan balas penyerang Laos cukup pantas dan berbahaya.

"Pasukan perlu fokus dan konsisten sejak minit awal hingga akhir permainan. Kita tidak boleh memandang mudah cabaran Laos yang mampu menghukum pasukan jika kita leka," katanya.

Kemenangan ke atas skuad V Sundramoorthy malam esok akan memberi kelebihan kepada Harimau Malaya sebelum mengharungi aksi lebih sukar selepas ini.

Jika menang, Malaysia akan membawa kelebihan psikologi serta semangat tinggi untuk berdepan dua pasukan yang mara ke separuh akhir pada 2016 – Vietnam dan Myanmar.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 November 2018 @ 2:56 PM