Selasa, 24 April 2018

KAFA ‘bunuh’ kerjaya Apek, Badhri Radzi

Yatimin Abdullah
25 April 2018 3:00 AM
PIYA (kanan) dan Apek dinamakan sebagai pemain yang tiada dalam
PIYA (kanan) dan Apek dinamakan sebagai pemain yang tiada dalam perancangan KAFA menerusi Facebook baru-baru ini.

TINDAKAN Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) yang mengeluarkan kenyataan Mohd. Badhri Radzi atau Piya dan Khairul Fahmi Che Mat (Apek) sudah tidak ada dalam perancangan pasukan sebelum jendela perpindahan pemain pada Mei ini seolah-olah telah ‘menjatuhkan harga’ le­genda The Red Warriors (TRW) itu.

Presiden Persatuan Bekas Pemain Bola Sepak Kelantan (PBPBSK), Sa­lim Mahmood berkata, KAFA tidak sepatutnya berbuat demikian memandangkan kedua-dua pemain itu merupakan nama besar dalam arena bola sepak tempatan dan telah memberikan sumbangan cukup besar buat TRW sebelum ini.


“Apabila KAFA menyebut melepaskan Piya dan Apek adalah bertujuan menjimatkan kos, saya masih beranggapan ia wajar.

“Tetapi bukan sekarang, mustahil bagi KAFA untuk bertindak tanpa pe­rancangan. Jika disebut perancangan untuk jangka masa tertentu, sudah semestinya ada ketelitian dalam hal ini, namun saya lihat perkara tersebut tidak ada,” katanya.

Salim berkata, beliau bersetuju jika ungkapan ‘biar jasa jadi kenangan’ tetapi bukan dengan cara atau kaedah yang KAFA lakukan ketika ini.

Katanya, sebagai bekas pemain, beliau begitu memahami perasaan yang sedang dihadapi oleh kedua-dua tonggak TRW itu ketika ini.

“Setiap pemain bola sepak tahu bila masa berundur atau khidmat mereka sudah tidak diperlukan,” ujarnya.

Salim berkata, KAFA sepatutnya memberikan penghargaan kepada Piya dan Apek dengan menyedia­kan pelan jangka panjang iaitu dengan menghantar mereka dan pemain-pemain lain mengikuti kursus kejurulatihan.

“Bukan itu sahaja, KAFA boleh melantik mereka sebagai duta atau ikon bola sepak negeri Kelantan.

“Mewujudkan kembali akademi bola sepak supaya mereka dapat mencurahkan segala ilmu kepada generasi baharu nanti,” ujarnya.

Salim berkata, kedua-dua pemain itu mampu menjadi motivasi kepada generasi baharu untuk tampil lebih berjaya pada tahun mendatang.
Sumber-KOSMO ONLINE 25 April 2018 3:00 AM


Sabtu, 21 April 2018

KAFA sedia lepas Apek, Piya

Sabtu, 21 April 2018 | 2:30pm
KHAIRUL Fahmi tiada dalam perancangan Fajer. -Foto fail
KAFA sedia lepas Apek, Piya
Oleh Rodly Fadly
sukanteam@nstp.com.my
 
KUALA LUMPUR:  Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) sedia melepaskan Khairul Fahmi Che Mat jika penjaga gol berpengalaman itu berhasrat meninggalkan pasukan Kelantan pada musim perpindahan kedua bulan depan.

Malah, Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilyas Khan mengalu-alukan hasrat pasukan Kuala Lumpur untuk melamar pemain itu sambil menyatakan pintu rundingan turut terbuka luas kepada pasukan lain yang berminat.

Bibi berkata ia sebagai menyokong langkah transformasi yang sedang dilakukan oleh jurulatih baharu, Fajer Ebrahim ke atas The Red Warriors dan pada masa sama untuk meringankan beban kewangan ditanggung badan bola sepak itu.

"Terus terang saya nyatakan, Apek (Khairul Fahmi) memang tidak ada dalam perancangan jurulatih dan beliau (Fajer) menyerahkan kepada kami untuk membuat keputusan," kata Bibi.

"Bagi kami, bila seseorang pemain tidak ada dalam perancangan jurulatih, dengan kekangan kewangan yang sedang kami hadapi, kami perlu akur dengan keputusan itu dan memberi ruang kepada pemain untuk bermain dengan pasukan lain.

"Namun, setakat ini kami belum membincangkan perkara ini dengan Apek kerana saya baru selesai berunding dengan Veenod (S Veenod), Taj (Amiridzwan Taj Tajuddin) dan Faizol Nazlin (Sayuti).

 "Kami juga belum menerima sebarang tawaran untuk Apek sama ada daripada Kuala Lumpur atau pasukan lain. Tapi, pintu kami memang sentiasa terbuka untuk rundingan."

Setakat ini Kelantan sudah mengetepikan 11 pemain termasuk dua import, Bruno Lopes dari Brazil dan Ferdinand Singa (Indonesia) selain pemain tempatan - Norfarhan Muhammad, Amiridzwan, Rozaimi Azwar, Sukri Abd Hamid, Shafiq Ab Rahman, Tengku Qayyum Ubaidillah dan Hattaphon Bun An.

Bibi menjelaskan, selain Apek, bekas ketua pasukan, Badhri Radzi atau Piya juga tidak ada dalam perancangan Fajer dan membuka ruang kepada pasukan lain yang mahu melamarnya.

Menurutnya, walaupun tindakan menggugurkan beberapa pemain berpengalaman dianggap drastik, KAFA terpaksa melakukannya demi menyelamatkan pasukan itu.

"KAFA sedang dibelenggu hutang yang mungkin berdepan tindakan daripada FIFA (Persekutuan Bolasepak Antarabangsa) serta pemotongan mata jika tidak ditangani segera. Kalau hutang tak dapat bayar, belum tentu pasukan Kelantan boleh kekal dalam Liga Super pada tahun depan.

"Pada masa sama, kami juga perlu menilai daripada pelbagai sudut, contohnya ambil pemain bergaji tinggi tapi prestasi pasukan tidak meningkat. Jadi, kami ambil jalan tengah, biar beban hutang berkurangan di samping berusaha mengekalkan pasukan dalam Liga Super," katanya
Sumber-BERITA HARIAN ONLINE Sabtu, 21 April 2018 | 2:30pm

Jumaat, 20 April 2018

Apek dalam radar Maciel


Rodly Fadly
sukanteam@nstp.com.my

Kuala Lumpur: Jurulatih Kuala Lumpur (KL), Fabio Maciel mengakui penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat berada dalam senarai pemain paling dikehendakinya apabila pintu perpindahan kedua dibuka pada pertengahan bulan depan.

Malah, Maciel mendedahkan langkah pertama untuk mendapatkan Khairul Fahmi atau mesra dengan panggilan Apek sudah dimulakan apabila mengusulkan nama penjaga gol itu kepada pihak pengurusan baru-baru ini.

Beliau yakin kehadiran Apek dapat mengukuhkan lagi cabaran KL terutama untuk memantapkan posisi penjaga gol yang kini dibarisi oleh Kamarul Affendi, Ahmad Solehin Mamat dan Khatul Anuar Jalil.

“Apek seorang penjaga gol yang bagus dan berpengalaman. Sudah pasti saya sangat gembira jika dia menyertai kami dan saya mengalu-alukan kedatangannya.

“Kami perlukan pemain seperti dia untuk menjadikan pasukan KL lebih stabil serta mampu menjadi pencabar sebenar.

“Kehadiran Apek kelak bukan sekadar mampu mengukuhkan benteng terakhir KL malah boleh membimbing penjaga gol muda, Solehin dan Khatul di samping memberi daya saing kepada Kamarul.

“Saya sudah menyerahkan nama Apek kepada pengurusan untuk mereka memulakan rundingan dan berharap impian memiliki pemain itu akan menjadi kenyataan,” akui Maciel.

Selain itu, kata Maciel, beliau turut menyenaraikan nama beberapa pemain lain untuk dipertimbangkan oleh Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) dalam usaha memantapkan The City Boys.

Spekulasi yang mengaitkan Apek dengan pasukan KL tercetus selepas penjaga gol kebangsaan itu dilaporkan antara pemain bakal dilepaskan oleh Kelantan pada perpindahan kedua yang bermula pertengahan bulan depan.

Malah, keputusan jurulatih baharu Kelantan, Fajer Ebrahim mengetepikan Apek, sebaliknya memberi kepercayaan kepada Fikri Che Soh pada aksi menentang Negeri Sembilan hujung minggu lalu menguatkan lagi spekulasi jodoh penjaga gol itu dengan The Red Warriors hampir ke penghujung.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 April 2018 @ 1:49 AM