Sabtu, 31 Mac 2018

Peluang tamat badi!

Zulfaizan Mansor
zulfaizan@nstp.com.my
MALAYSIA tidak mempunyai alasan lagi untuk gagal menamatkan badi tanpa kemenangan dalam 12 perlawanan apabila berdepan pasukan separuh profesional, Bhutan pada aksi persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil, esok.

Apa tidaknya, skuad kendalian Trevor James Morgan dianggap lawan yang mudah dengan mereka hanya menghuni kedudukan ke-188 dunia - 10 anak tangga di belakang Harimau Malaya.

Malah, Bhutan turut dianggap sebagai pasukan belasahan selepas pernah merekodkan kekalahan besar termasuk tewas 0-10 kepada Palestin dan terbaru dimalukan oleh Maldives 7-0 pada aksi kelayakan Piala Asia, Selasa lalu.

Bagi penjaga gol berpengalaman Harimau Malaya, Khairul Fahmi Che Mat, kemenangan pada perlawanan esok amat penting untuk anak buah Tan Cheng Hoe bangkit daripada rentetan prestasi buruk sebelum ini.

“Seperti yang jurulatih katakan, kami sangat perlukan kemenangan. Jadi kami perlu fokus sepenuhnya. Saya harap perlawanan esok akan menjadi titik permulaan untuk skuad kebangsaan meraih keputusan positif selepas ini.

“Apapun, kami perlu perbaiki segala kelemahan ketika berdepan Lubnan (pada Selasa lalu). Stadium Nasional Bukit Jalil sememangnya mempunyai kenangan yang baik buat skuad kebangsaan termasuk ketika menjuarai Piala AFF Suzuki 2010,” katanya pada sidang media di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), di sini, hari ini.

Skuad Harimau Malaya melepaskan peluang keemasan untuk menamatkan badi tanpa kemenangan apabila diikat 2-2 oleh pasukan tangga ke-189 dunia, Mongolia pada aksi persahabatan di gelanggang sama, pada 22 Mac lalu.

Nasib terus tidak menyebelahi anak buah Cheng Hoe apabila tewas 1-2 kepada Lubnan hasil jaringan saat akhir Hilal El-Helwe, biarpun persembahan baik dipamerkan mereka.

Malah, jika persembahan sama dipamerkan barisan pemain Harimau Malaya berdepan Bhutan esok, tidak mustahil misi menamatkan kemarau kemenangan dapat direalisasikan selepas kali terakhir merasai nikmat kemenangan ketika menumpaskan Kemboja 3-2 di saingan Piala AFF Suzuki pada 20 November lalu.

sumberArtikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Mac 2018 @ 9:51 PM

Bhutan mahu kejutkan Harimau


Zulfaizan Mansor
zulfaizan@nstp.com.my
 
BIARPUN dianggap bakal menjadi mangsa belasahan skuad Harimau Malaya pada aksi persahabatan esok, pasukan Bhutan tetap sedia melakar kejutan besar.

Jurulatihnya, Trevor James Morgan menyifatkan perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil itu menjadi medan terbaik untuk dia menguji kemampuan sebenar anak buahnya yang keseluruhan dibarisi pemain separuh profesional.   

Sambil menyifatkan skuad Harimau Malaya memiliki banyak kelebihan, dia bagaimanapun enggan skuad bimbingannya yang lebih dikenali sebagai Dragon Boys menyerah kalah sebelum tamat 90 minit aksi sebenar.

“Kami mahu fokus untuk meningkatkan prestasi semasa semua pemain kerana ini adalah peluang terbaik berbuat demikian. Untuk menjadi yang terbaik, kami perlu menentang pasukan yang lebih baik seperti Malaysia.

“Malaysia mempunyai kombinasi pemain muda dan senior yang baik dan sudah pasti akan memberi kesukaran kepada kami.

“Namun, pemain saya sudah bekerja keras sepanjang latihan dan kami akan cuba memberi tentangan sengit pada perlawanan esok,” katanya pada sidang media di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), di sini, hari ini.

Bhutan yang berada di kedudukan ke-188 dalam ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) - 10 anak tangga di belakang Malaysia, dibarisi majoriti pemain muda dan separuh profesional.

Malah, mereka juga dijangka bakal menjadi lawan mudah buat Malaysia yang dibarisi keseluruhan pemain profesional.

SUMBERArtikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Mac 2018 @ 7:01 PM

Jumaat, 16 Mac 2018

Apek bersyukur diberi peluang kembali menyarung jersi kebangsaan



KHAIRUL FAHMI
KHAIRUL FAHMI CHE MAT

14 Mac 2018 7:15 PM
KOTA BHARU 14 Mac - Penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat bakal berdepan saingan sengit bagi mendapatkan posisi selaku penjaga gol utama skuad kebangsaan selepas beliau dipanggil semula bagi menyertai pasukan negara dalam perlawanan persahabatan 22 Mac ini, dan aksi terakhir Kumpulan B Kelayakan Piala Asia 2019 bertemu Lubnan di Beirut, 27 Mac ini.

Khairul Fahmi berkata walaupun beliau penjaga gol paling senior dipanggil ketua jurulatih kebangsaan Tan Cheng Hoe, namun bukan laluan mudah untuk beliau berada dalam kesebelasan utama bagi mengisi posisi berkenaan.

"Saya akan bersaing dengan Haziq Nadzli (penjaga gol Johor Darul Ta'zim) dan Muhammad Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy (penjaga gol Perak) bagi posisi tersebut pada dua perlawanan yang bakal dilalui pasukan negara," katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Kali terakhir pemain berusia 29 tahun itu menyarung jersi kebangsaan adalah pada Kejohanan Piala AFF Suzuki di Filipina, dua tahun lalu.

Khairul Fahmi juga bersyukur kerana kembali diberi peluang menyarung jersi kebangsaan kerana dalam saingan Liga Malaysia musim ini mempunyai ramai penjaga gol berkualiti. - BERNAMA

SUMBERArtikel Penuh: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/apek-bersyukur-diberi-peluang-kembali-menyarung-jersi-kebangsaan-1.627493#ixzz59voSEjTg
Sumber-© Utusan Melayu (M) Bhd