Rabu, 18 Oktober 2017

Dua pemain bola sepak kita ke PSV



ARKIB : 24/11/2007

KUALA LUMPUR – Dua pemain Malaysia, Asraruddin Putra Omar dan penjaga gol, Khairul Fahmie ditawarkan menjalani ujian dengan kelab utama Belanda, PSV Eindhoven, menurut Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), semalam.

Pemain remaja negara masing-masing berusia 18 tahun mencuri perhatian PSV sewaktu Kejohanan Bola Sepak Piala CYC yang lalu dan berpeluang untuk menyinar di Belanda minggu ini.

‘‘Ini adalah peluang terbaik walaupun saya tahu ia hanyalah dalam tempoh yang singkat untuk menyakinkan pemilihan.

‘‘Saya masih berharap kami akan dapat melakukan yang terbaik dan membuktikan kepada mereka bahawa kami mempunyai kriteria bermain di PSV,’’ kata Asraruddin.

Pengumuman itu hadir setelah tiga pemain Thailand, Suree Sukha, Kiatprawut Saiwaew dan Teerasil Dangda mengikat kontrak dengan pasukan Liga Perdana England, Manchester City.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1124&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4vqXgDoIE
© Utusan Melayu (M) Bhd

Selasa, 17 Oktober 2017

Asraruddin tetap ke PSV Eindhoven

ARKIB : 08/11/2007
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
 
Asraruddin Putra Omar (kanan) mendapat ucapan tahniah Setiausaha Agung FAM, Lt. Jen. (B) Datuk Azzuddin Ahmad kerana ditawarkan berlatih di PSV Eindhoven selepas sidang akhbar di MSN, Bukit Jalil, semalam.

KUALA LUMPUR – Gifted Group Limited menamatkan teka-teki status bek tengah remaja negara, Asraruddin Putra Omar ke kelab Belanda, PSV Eindhoven sejak pertengahan bulan lalu, dengan bersetuju mengendalikan dan membiayai pemergiannya mulai 16 hingga 24 November ini.

Malah dua mesyuarat penganjur Piala Juara-juara Belia (CYC), Ogos lalu itu dengan Majlis Sukan Negara dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) termasuk semalam meluluskan pemergian penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat ke sana dan diiringi bekas penolong jurulatih negara, Nasir Yusof.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong berkata, Asraruddin dan Khairul akan berlatih dan menjalani ujian pemilihan rasmi dengan kelab Bawah 19 dan 23 Tahun PSV Eindhoven pada 19 dan 24 November ini berdasarkan penilaian seorang jurulatih pencari bakatnya ketika CYC.

“Mereka juga akan diturunkan dalam perlawanan persahabatan 21 November,” katanya yang berharap kesanggupan Gifted itu dapat menjelaskan kekeliruan berhubung kenyataan Pengarah Teknikal FAM, Robert Alberts sebelum ini bahawa masalah kewangan yang menghalang pemergian pemain Selangor itu lebih awal.

Kata Zolkples, “pemergian mereka diharap menjadi permulaan baik dalam membentuk skuad kebangsaan yang mantap kerana selepas ini kita mungkin menyusul dengan menghantar penyerang atau pemain posisi lain.

Asraruddin, kelahiran Kuala Selangor bermain sebagai penyerang dan sayap kiri Bawah 20 Malaysia selain bek tengah atau pemain tengah bertahan dalam CYC.

Dia dan Khairul pernah membantu skuad Bawah 20 Malaysia menjuarai Piala Lion City 2004 dan layak ke Piala Asia Bawah 17.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1108&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4vokQW300
© Utusan Melayu (M) Bhd

Jumaat, 13 Oktober 2017

Malaysia kekang Chelsea - Mesti atasi PSV Eindhoven untuk ke suku akhir



ARKIB : 11/08/2007
Oleh: SAYED HESHAM IDRIS

PEMAIN Malaysia menerima tepukan gemuruh daripada penonton selepas mengikat Chelsea dengan keputusan seri tanpa jaringan di Kuching, semalam. – Gambar ZUL AZHAR SHEBLEE.

KUCHING – Skuad Bawah 19 Tahun Malaysia mencipta kecemerlangan tersendiri apabila mengikat kelab Liga Perdana England, Chelsea 0-0 dalam Kumpulan D bola sepak Piala Juara-Juara Belia di sini, semalam.

Keputusan itu disambut baik lebih 10,000 penonton yang memuji semangat juang pemain negara.

Jurulatih Robert Alberts berkata, pujian harus diberikan kepada para pemain yang berupaya menyaingi sebuah pasukan yang melabur berjuta ringgit untuk program pembangunan remajanya.

Katanya, lebih membanggakan kejayaan itu dicapai oleh pemain negara yang hanya menjalani persediaan selama dua minggu.

‘‘Pujian harus diberikan kepada para pemain muda negara dan saya harap keputusan malam ini membuka mata semua pihak kita juga mampu menyaingi pasukan handalan dunia,” katanya.

Kejayaan mengikat Chelsea semalam turut membuka peluang Malaysia mengintai tempat ke suku akhir.

Begitupun, tegas Alberts, Malaysia perlu menewaskan wakil Belanda, PSV Eindhoven dalam perlawanan terakhir kumpulan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, esok.

‘‘Saya berharap para penyokong di Kuala Lumpur membanjiri stadium untuk memberi sokongan kepada pasukan kebangsaan seperti mana penyokong yang ditunjukkan di Stadium Sarawak pada dua perlawanan awal ,” ujarnya.

Kejayaan mengikat Chelsea dihasilkan menerusi penguasaan anak buah Alberts sejak awal permainan lagi.

Persembahan pemain negara lebih baik berbanding ketika tewas 1-2 kepada Bayern Munich kelmarin.

Malaysia yang menurunkan barisan yang sama ketika menentang Bayern menguasai hampir 20 minit pertama babak awal.

Percubaan terbaik skuad negara menjelma pada minit ke-13 menerusi sepakan percuma Badrol Bakhtiar yang menuju ke penjuru gawang tetapi berjaya ditepis penjaga gol Chelsea,Nikolas Heimann.

Empat minit kemudian, pemain sayap kanan, Mohd. Nazrin Nawi Mohd. melepasi pertahanan lawan Ben Gordon sebelum melakukan hantaran lintang.

Namun, ia gagal disambar kemas oleh Badrol yang dikawal ketat pertahanan lawan.

Chelsea cuba mengimbangi permainan menerusi serangan balas yang hampir menemui penyudah pada minit-22 oleh Lee Sawyor.

Rembatan kencang Sawyor dari kawasan penalti terlepas dari dakapan penjaga gol Khairul Fahmie, mujur bola pantas dikeluarkan oleh ketua pasukan Bunyamin Umar.

Gawang tuan rumah sekali lagi hampir bolos pada minit ke-24 apabila Adam Phillip yang melepasi pertahanan pasukan tuan rumah melakukan sepakan deras kaki kanan.

Namun, penjaga gol Malaysia, Khairul Fahmie lebih bersedia menepis bola.

Pemain tuan rumah yang meneruskan aksi bertenaga selepas rehat tetapi nyaris dikejutkan dengan kealpaan penjaga gol Khairul Fahmie yang gagal menangkap bola hantaran lintang lawan.

Hasil kealpaan itu, Miloslav cuba mengambil kesempatan tetapi pantas diasak oleh Badol Bakhtiar dan Muhammad Ibnu Kassim untuk menyelamatkan keadaan.

Peluang terbaik tuan rumah hadir pada minit ke-56 menerusi Badrol yang membuat larian solo melepasi pertahanan lawan namun sekadar melepaskan sepakan lemah yang terus ke dakapan penjaga gol, Nicolas.

Jack Cork hampir memastikan kemenangan Chelsea pada minit ke-62 menerusi tandukan kencang yang menuju ke penjuru gawang Malaysia tetapi berjaya ditangkap kemas Khairul Fahmie

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0811&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4vNx56W00
© Utusan Melayu (M) Bhd

Khamis, 12 Oktober 2017

Kalah bermaruah

ARKIB : 09/08/2007
Oleh SAYED HESHAM IDRIS dan SHARIZA ABDULLAH
Pemain-pemain Malaysia meraikan jaringan gol penyamaan Badrol Bakhtiar menentang Bayern Munich pada Piala Juara-Juara Belia di Stadium Sarawak, semalam. – Gambar ZUL AZHAR SHEBLEE.

KUALA LUMPUR – Jaringan pada babak akhir Viktor Bopp menafikan hasrat skuad negara untuk mengikat Bayern Muncih pada perlawanan pembukaan Kumpulan D Kejohanan Bola Sepak Piala Juara-Juara Belia (CYC) apabila tewas 1-2 di Stadium Sarawak, semalam.

Jaringan Bopp pada minit ke-70 menerusi sepakan deras dalam kotak penalti menewaskan penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmie sekaligus mengecewakan anak buah Robert Alberts yang beraksi kemas sepanjang perlawanan.

Percaturan formasi 5-4-1 anak buah Robert Alberts berjaya apabila pasukan tuan rumah sentiasa memberi saingan sepanjang perlawanan apabila tidak patah semangat sekalipun ketinggalan 0-1 pada masa kecederaan babak pertama menerusi Gianluca Simari yang menyempurnakan hantaran silang Diminik Rohracer.

Malaysia bangkit pada babak kedua dengan menambah asakan ke kubu lawan dan akhirnya gol penyamaan muncul pada minit ke-54 menerusi gol sendiri ketua pasukan, Bjorn Kopplin yang tertampan bola lintang Badrol Bakthiar.

Terdahulu Malaysia sepatutnya memperoleh sepakan penalti pada minit ke-15 apabila bola jelas terkena tangan kanan pemain pertahanan, Jakob Engelmann, namun ia dinafikan oleh pengadil Mohammad Hamidin Shahbuddin.

Pujian harus diberikan kepada penjaga gol, Khairul Fahmie Che Omar yang berjaya mengawal gawang dari mudah dibolosi.

Alberts ketika ditemui selepas perlawanan berkata, pujian harus diberikan kepada pemain muda negara kerana berjaya memberikan persembahan terbaik.

Katanya, para pemain mengikut segala perancangan dengan bermain pantas bagi mengimbangi pergerakan lawan.

‘‘Memang ramai yang meramalkan kita akan dibelasah oleh Bayern tetapi kalah hanya dengan satu gol merupakan satu keputusan yang tidak mengecewakan.

‘‘Kita akan berusaha memperbaiki kelemahan pada perlawanan seterusnya,” katanya.

Dalam satu lagi perlawanan kumpulan sama, wakil Belanda, PSV Eindhoven menundukkan Chelsea 1-0.

Pemain gantian, Nigel Hasselbaink yang baru seminit dimasukkan menjaringkan gol tunggal perlawanan pada minit ke-46 apabila memperdayakan pertahanan lawan sebelum merembat deras menewaskan penjaga gol Jeroen Zoet.

Sementara itu, dalam saingan pembukaan Kumpulan A, gergasi kelab bola sepak Itali, AC Milan hanya mampu seri 1-1 dengan Flamengo di Stadium Darul Aman, Alor Setar, semalam.

Dalam perlawanan yang turut disaksikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor serta dua anak mereka, kedua-dua pasukan gagal mempamerkan persembahan menarik dengan tidak banyak peluang dicipta sepanjang perlawanan.

Hanya di babak kedua gol berjaya dijaringkan dengan Flamengo lebih dulu di depan menerusi pemain gantian, Pedro Mogueira yang bijak menyambar bola umpanan Vander Viera dari sebelah kiri gawang Milan untuk membolehkan pasukannya mendahului 1-0.

Pierre Aubame muncul penyelamat Milan untuk mengutip sekurang-kurangnya satu mata apabila menyamakan kedudukan pada minit ke-58 selepas menolak masuk bola yang gagal ditampan kemas oleh Offredi hasil percubaan pemain tersebut sebelum itu.

Satu lagi perlawanan Kumpulan A menyaksikan Arsenal turut seri tetapi tanpa jaringan dengan Ajax Armsterdam.

Meski pun kelab gergasi Liga Perdana England dan Belanda itu mempamerkan persembahan menarik dengan masing- masing melancarkan gerakan berbahaya, namun kedua-dua pasukan perlu menyalahkan diri sendiri kerana gagal merebut peluang menjaringkan gol yang dicipta sejak wisel permainan ditiupkan.

Keempat-empat pasukan akan kembali beraksi Jumaat ini

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0809&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4vIpEnUrT
© Utusan Melayu (M) Bhd