25 DISEMBER 2016
apek
PENJAGA gol kebangsaan, Khairul
Fahmi Che Mat mahu masalah kewangan yang membelenggu Persatuan Bola Sepak
Kelantan (KAFA) ketika ini diatasi segera.
Menurutnya, ia perlu bagi
memastikan skuad The Red Warriors dapat membuat persediaan rapi menghadapi
saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2017.
Khairul Fahmi yang mesra dengan
panggilan 'Apek' mengakui masalah itu sedikit sebanyak mengganggu emosi pemain
tetapi yakin ia mampu diatasi oleh pengurusan pasukan.
"Kami (pemain) sudah
bersedia menghadapi sebarang kemungkinan. Sekiranya keputusan kurang positif
dicapai pada 29 Dis nanti, saya harap KAFA masih mengutamakan kebajikan pemain
yang telah banyak berjasa selama ini," katanya.
Khairul Fahmi baru dinamakan
sebagai Penjaga Gol Terbaik buat kali kelima pada majlis Anugerah Bola Sepak
Kebangsaan 2016, Jumaat lepas.
Sebagai rekod, Khairul Fahmi
pernah memenangi anugerah sama dari 2010 sehingga 2013.
Menurut Khairul Fahmi, skuad
Kelantan kini giat menjalani latihan pra-musim di bawah kendalian Zahasmi
Ismail yang merupakan bekas pemain pasukan itu pada era 1990-an.
KAFA dilaporkan mahu menarik
diri daripada Liga-M 2017 memandangkan persatuan itu hanya mempunyai RM800,000
hasil sumbangan penaja kecil sedangkan mereka memerlukan kira-kira RM15 juta
untuk kos keseluruhan pasukan tersebut.
Keputusan terakhir sama ada
Kelantan akan menarik diri daripada menyertai Liga-M musim depan akan dibuat
menerusi Kongres Luar Biasa KAFA pada 29 Dis ini.
Football Malaysia Limited
Liability Partnership (FMLLP) menetapkan tempoh akhir pendaftaran pasukan untuk
Liga-M 2017 pada 31 Dis ini. - Bernama
SUMBER- SINAR HARIAN
ONLINE 25 DISEMBER 2016