Ahad, 3 Januari 2021

‘Usah cepat puas hati’

MyMetroNode



Singapura: Jangan cepat berpuas hati kerana ujian sebenar Harimau Malaya adalah menentang juara tiga kali Thailand esok di Stadium Jalan Besar bagi aksi kedua Kumpulan B Piala AFF 2014.

Ia peringatan kepada anak buah Dollah Salleh khususnya bahagian pertahanan bahawa ujian lebih mencabar bakal mereka temui dalam misi untuk melepasi halangan peringkat kumpulan.

Walaupun pertahanan negara ampuh bertahan biarpun beraksi dengan 10 pemain sepanjang hampir sejam ketika seri 0-0 dengan Myanmar kelmarin, ia belum menjanjikan apa-apa apabila berdepan Thailand.

Dan itu diakui sendiri penjaga gol kebangsaan Khairul Fahmi Che Mat.

Thailand salah satu pasukan gergasi rantau ini dan kita kena bersiap sedia. Kita tiada pilihan selain menang baki dua perlawanan ini.

Kita sudah menilai kekuatan Thailand dan mereka mempunyai ramai pemain muda. Walaupun kurang pengalaman tapi mereka tetap bahaya dengan corak permainan pantas,” katanya.

Khairul Fahmi cemerlang dalam memastikan gawang tidak dibolosi pada aksi pertama namun penjaga gol Kelantan itu memberikan pujian kepada barisan pertahanan dibarisi Mahali Jasuli, Mohd Fadhli Shas, Afif Amiruddin dan Zubir Azmi.

Selepas perlawanan dengan Thailand, Malaysia akan membuat perhitungan terakhir Kumpulan B dengan juara bertahan Singapura di Stadium Nasional Sabtu ini.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 November 2014 @ 5:13 AM

Halim Napi idola Apek

MyMetroArena



Syazwan Msar

mohdsyazwan@hmetro.com.my

KHAIRUL Fahmi Che Mat menganggap bekas penjaga gol 'gila-gila' Kelantan, Halim Napi adalah idola serta menjadi sumber inspirasinya ketika di awal pembabitan karier sebagai pemain bola sepak.

Khairul Fahmi atau mesra disapa Apek menyifatkan pengalaman pernah mendapat tunjuk ajar daripada Halim pada musim 2009 ketika di Kelantan kekal menjadi kenangan manis buat penjaga gol berpengalaman negara yang kini beraksi bersama Melaka.

Ketika mendapat bimbingan Halim, nama Khairul Fahmi yang terus melonjak tinggi dalam kariernya selepas itu sehingga menjadi penjaga gol nombor satu Harimau Malaya.

Khairul Fahmi mengakui ada sebab tersendiri untuk meminati Halim yang disifatkan mempunyai sikap tegas di atas padang, malah ada ciri-ciri kepimpinan sebagai benteng terakhir pasukan.

Halim Napi yang juga penjaga gol terkenal di era 90-an pernah mewakili Kelantan, Negeri Sembilan dan Perak sebelum bersara pada 2009.

Dia antara pemain dalam 'Best XI' Khairul Fahmi dengan formasi 4-4-2 sebagai pilihan.

Bagi barisan pertahanan, tiga bekas pemain Kelantan, Zairul Fitree Ishak, Daudsu Jamaluddin dan Obinna Nwaneri menjadi pilihan Khairul Fahmi selain pertahanan Pahang, Muslim Ahmad.

Wan Zack Haikal Wan Noor selaku pemain sayap kiri sementara Wan Zaharulnizam Wan Zakaria di sayap kanan diikuti Mohd Badhri Mohd Radzi dan Safiq Rahim mengemudi bahagian tengah.

Dua penyerang pilihan Khairul Fahmi ialah Dickson Nwakaeme dan Norshahrul Idlan Talaha, yang kedua-duanya pernah menyarung jersi Kelantan.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mei 2020 @ 8:16 PM