MyMetroArena
Syazwan Msar
mohdsyazwan@hmetro.com.my

BELUM pun reda isu desakan
peletakan jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani
Ilias Khan, kini badan induk bola sepak negeri itu diuji pula tuntutan gaji
oleh empat bekas pemain bernilai lebih RM300,000.
Tuntutan empat pemain terbabit
iaitu Mohd Daudsu Jamaluddin, Zairul Fitree Ishak dan Norhafiz Zamani Misbah
serta terbaru penjaga gol Melaka, Khairul Fahmi Che Mat jelas memberi tamparan
kepada pengurusan KAFA yang kini dibelenggu masalah kewangan.
Malah, dikhabarkan beberapa
pemain daripada skuad utama Kelantan dan Presiden masih lagi tidak menerima
gaji sejak April lalu, sekali gus membayangkan skuad The Red Warriors itu
berada dalam situasi tenat.
Mengikut maklumat yang diterima,
Khairul Fahmi menerusi peguamnya menghantar surat kepada KAFA tiga hari lalu
bagi menuntut bayaran tunggakan gaji 2015 dan 2016 mencecah RM143,000.
Manakala tiga pemain lain
menghantar surat tuntutan pembayaran tunggakan gaji dengan anggaran RM200,000
seterusnya perlu diselesaikan segera oleh KAFA bagi mengelak tindakan
undang-undang.
Bibi ketika dihubungi Arena Metro
mengesahkan menerima surat tuntutan daripada keempat-empat pemain itu baru-baru
ini membabitkan tunggakan bayaran gaji pengurusan terdahulu.
Namun, tuntutan itu menimbulkan
persoalan berikutan secara tiba-tiba pemain berkenaan menuntut pembayaran
terbabit walaupun ada kes sudah berlanjutan hampir empat tahun.
Situasi terbabit sekali gus
menyebabkan Bibi tidak menolak kemungkinan ada desakan daripada pihak tertentu
yang mahu melihat Kelantan jatuh selepas dihimpit pelbagai masalah.
“Saya ada terima surat daripada
peguam mereka baru-baru ini berkaitan tuntutan terbabit dan melihat pemain
terbabit menuntut dalam jumlah yang terlalu besar.
“Ada beberapa tuntutan itu tidak
munasabah selain ada antara pemain terbabit melanggar syarat kontrak
menyebabkan dia tidak mendapat bayaran gaji,” katanya ketika dihubungi Arena
Metro.
Bibi mengakui satu persatu
masalah timbul walaupun pengurusan sekarang ini cuba menyelesaikan isu
tunggakan gaji dan tuntutan pemain.
“Saya melihat ada perancangan
daripada pihak tertentu untuk menjatuhkan KAFA dan untuk itu saya akan membawa
perkara ini kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk melakukan siasatan
terhadap gaji mereka sebelum ini.
“Jika diikutkan isu tunggakan
LHDN belum lagi selesai dan timbul pula masalah ini dan KAFA perlu mengambil
inisiatif bagi mengelak terus menjadi mangsa keadaan,” katanya.
SUMBERArtikel ini disiarkan pada
: Khamis, 30 Mei 2019 @ 5:01 AM