KHAIRUL FAHMI CHE MAT mahu
membalas kepercayaan jurulatih kebangsaan, Tan Cheng Hoe dalam aksi
persahabatan, bulan depan. - MUSA
Nursuraya Zulkifli
27 Jun 2018 4:32 PM
MELAKA 27 Jun - Penjaga gol
Melaka United, Khairul Fahmi Che Mat berazam mahu memastikan tempatnya dalam
kesebelasan utama skuad Harimau Malaya pada perlawanan persahabatan
antarabangsa ‘A’ menentang Fiji di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada
5 Julai nanti.
Katanya, kepercayaan ketua
jurulatih kebangsaan Tan Cheng Hoe yang masih meletakkannya dalam senarai 24
pemain terpilih menjalani kem latihan pusat skuad negara pada 1 Julai itu, mahu
dibalas dengan memberikan aksi yang terbaik.
Penjaga gawang berpengalaman itu
berkata, aksi tersebut juga dilihat medan terbaik mencari dan menjamin tempat
dalam pasukan Malaysia untuk beberapa perlawanan persahabatan yang telah
dijadualkan sebelum menghadapi Kejohanan Piala AFF 2018 bermula 8 November
depan.
“Saya rasa bersyukur kerana masih
berpeluang untuk membuat penampilan bersama skuad kebangsaan dalam menghadapi
perlawanan persahabatan dan terima kasih juga kepada jurulatih kerana masih
mempercayai khidmat saya untuk menyarung jersi negara.
“Peluang ini semestinya akan
dimanfaatkan sepenuhnya untuk sama-sama berganding bahu dengan rakan sepasukan
dengan matlamat utama untuk melakukan persembahan yang terbaik.
“Perlawanan persahabatan
antarabangsa ini adalah sebahagian daripada pendedahan dan persiapan kepada
semua pemain sebelum menghadapi perlawanan,” katanya ketika ditemui di Stadium
Hang Jebat di sini semalam.
Khairul Fahmi yang lebih dikenali
dengan panggilan ‘Apek’ antara nama yang 11 pemain yang dikekalkan dalam
senarai skuad negara dalam perlawanan terakhir Kelayakan Piala Asia 2019
bertemu Lebanon pada 27 Mac 2018 dan perlawanan persahabatan antarabangsa A
bertemu Bhutan pada April lalu.
Perlawanan itu juga merupakan
aksi pertama pemain berusia 29 tahun itu kembali menyarung jersi kebangsaan
selepas kali terakhir bersama pasukan Malaysia dua tahun pada dalam Kejohanan
Piala AFF Suzuki 2016 di Filipina.
Antara kejayaan yang dikecapi
beliau bersama skuad kebangsaan adalah menjadi juara Piala Suzuki AFF 2010 dan
memenangi pingat emas Sukan SEA 2011. - UTUSAN ONLINE
Sumber-Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/apek-mahu-rebut-posisi-penjaga-gol-utama-1.697678#ixzz5JdIXSJd7
© Utusan Melayu (M) Bhd